Buaya 800 Kg Diangkat Bomba

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di Limbang, pada Selasa, ke kawasan selamat pagi semalam.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakan forklift,” katanya kepada media.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *