Nombor Plat PPP1 Dibida RM260,000

Nombor siri kenderaan PPP1 dibida paling tinggi iaitu pada harga RM260,000 melibatkan lapan pembida.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zamakhshari Hanipah berkata, bidaan nombor plat siri PPP itu dibuka melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Menurut beliau, secara keseluruhan, pihaknya mengutip hasil bidaan hampir RM7.3 juta bagi siri nombor plat PPP tersebut yang dibuka sejak 5 November lalu.

Katanya, rekod tertinggi bidaan bagi nombor siri PPP itu pula dicatatkan bagi nombor plat PPP8999 iaitu seramai 33 pembida dengan nilai RM12,888.

“Bidaan kedua tertinggi adalah nombor siri PPP999 yang dibida seramai 28 pembida bernilai RM106,000 dan PPP9 ketiga tertinggi dengan nilai RM160,000. 

“Setiap nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata perkhidmatan online JPJ akan diperluaskan menerusi pertambahan kiosk di 50 lokasi strategik di seluruh negara melalui peruntukan Bajet 2021.

“Pertambahan kiosk dijangka dapat memenuhi keperluan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang beroperasi selama 24 jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *