Makin Tua, Suara Kita Makin Berubah. Kenapa Ya?

Pada kurun ke-16, orang-orang Itali sangat mengagumi sejenis penyanyi gospel lelaki di mana jangkauan luar biasa suara mereka (range) mengandungi nota yang sebelum ini diketahui mustahil dicapai oleh lelaki dewasa.

Bagaimanapun, keupayaan ini datang dengan harga yang tinggi. Untuk mengelakkan suara mereka daripada pecah, penyanyi-penyanyi ini dikasi (dibuang kemaluannya) sebelum mereka mencapai akil baligh, menghentikan proses perubahan hormon yang akan mengubah suara mereka. Jadi, mereka menjadi dewasa dengan mengekalkan suara kanak-kanak mereka.

Mereka dipanggil castrati (bererti ‘mereka yang dikasi’) dan suara ‘malaikat’ ini sangat masyhur di serata Eropah sehinggalah prosedur kejam yang mencipta mereka itu diharamkan pada sekitar 1800-an.

Walaupun dengan membantutkan tumbesaran vokal dapat menghasilkan jangkauan vokal yang luar biasa, secara semula jadinya suara yang berubah mengikut usia sebenarnya berupaya untuk menghasilkan pelbagai nada vokal. Semakin kita berusia, tubuh kita melalui dua perubahan besar yang meneroka range tersebut.

Alessandro Moreschi (1858-1922), castrato Sistine terakhir. (foto: Wikipedia)

Jadi bagaimana kotak suara kita berfungsi dan bagaimana suara kita boleh berubah?

Bunyi spesifik yang dihasilkan ketika kita bercakap adalah akibat daripada pelbagai pergerakan anatomikal, tetapi sebahagian besarnya ditentukan oleh usia, tahap kesihatan pita suara, dan saiz larynx kita.

Larynx adalah sebuah sistem kompleks yang terbentuk oleh otot dan tulang rawan yang memegang dan menggerakkan pita suara, atau lebih tepat namanya, lipatan vokal. Terletak di antara thyroid dan tulang rawan arytenoid, dua otot ini membentuk tirai anjal yang membuka dan menutup ruang trachea, tiub yang membawa udara keluar masuk paru-paru.

Ketika kita bernafas, lipatan itu terbuka. Namun apabila kita bercakap, ia merapat. Udara dari paru-paru kita menolak lipatan tersebut, menyebabkan ia bergetar dan terhasillah bunyi atau suara. Tidak seperti kerja keras yang perlu dilakukan untuk bermain instrumen luar seperti trompet atau seruling, kita bercakap dan mengubah nada dan tona suar kita dengan bersahaja.

Anatomi larynx, sistem yang bertanggungjawab terhadap penghasilan suara. (foto: TED-Ed)

Dengan menolak angin itu laju atau perlahan (tanpa sedar), kita mengubah frekuensi dan amplitud getaran pada lipatan vokal kita. Ia diterjemahkan kepada seberapa kuat atau perlahan dan tinggi atau rendah suara kita. Getaran yang cepat dan kecil menghasilkan suara tinggi, sementara getaran perlahan dan besar menghasilkan suara rendah.

Ini adalah proses sama yang berlaku dari suara pertama semasa bayi sehinggalah perkataan terakhir sebelum mati. Namun apabila kita semakin berusia, begitu juga larynx kita.

Ketika akil baligh, bermulalah perubahan besar yang pertama apabila suara kita pecah. Ini berlaku apabila larynx kita membesar, memanjangkan otot lipatan vokal dan membuka lebih ruang untuk ia bergetar. Lipatan yang lebih panjang akan menghasilkan getaran yang lebih perlahan dan besar, sebab itu suara jadi lebih dalam. Perubahan ini berlaku terhadap lelaki dan perempuan, tetapi lebih ketara pada lelaki kerana tahap hormon testosteron yang tinggi membawa kepada perubahan besar tersebut. Larynx lelaki akan membesar sehingga terbentuknya halkum.

Normanya lelaki sahaja yang mengalami tumbesaran halkum. Bagaimanapun hari ini wujud juga wanita berhalkum, tapi bukan wanita sebenar lah.

Satu lagi perubahan vokal ketika akil baligh terjadi bila tisu sama yang meliputi lipatan vokal itu dikhususkan kepada tiga lapisan berfungsi – otot tengah, lapisan kolagen pejal diselaputi serat elastin anjal, dan lapisan luar membran lendir. Ini yang memberikan nuansa kepada suara kita, menyebabkan suara kita memiliki bunyi tersendiri yang lain daripada suara sebelum baligh.

Selepas baligh, kebanyakan orang mengekalkan suara yang kurang lebih sama untuk tempoh sehingga 50 tahun. Tapi kita masing-masing menggunakan suara dalam cara yang berbeza, dan kita akan mengalami simpton berkait dengan penuaan larynx yang dipanggil presbyphonia. Ia bermula dengan lapisan kolagen tadi mengeras dan serat elastin yang menyelaputinya mereput. Kemerosotan keanjalan ini menyebabkan nada suara jadi semakin tinggi.

Namun bagi wanita yang mengalami kesan menopaus, ia disumbangkan dengan otot lipatan vokal yang membengkak. Jisim lipatan itu yang bertambah memperlahankan getarannya, menyebabkan suara menjadi lebih dalam.

Semua simptom ini dirumitkan lagi dengan pengurangan hujung saraf pada larynx yang menyebabkan penurunan kecekapan kawalan otot di situ. Jadi, sebab itu bila kita tua suara kita jadi lebih kasar.

*Sumber: TED-Ed

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *