June 1, 2023

Semua Masjid Di Kelantan Diarahkan Buat Solat Hajat Selama 40 Malam

1 min read

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini mengeluarkan arahan kepada masjid negeri, bandar, jajahan serta mukim di seluruh Kelantan untuk mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yasin serta doa selamat selama 40 malam bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Tengku Temenggong Kelantan, berkata arahan itu adalah terkecuali kepada masjid yang berada di dalam kawasan yang wujud kluster kes COVID-19.

Perkara berkenaan juga sudah menerima perkenan darilada Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 6(1) Undang-Udang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes COVID-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan menyebabkan MAIK memutuskan untuk diadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Selain itu, majlis akad nikah yang diadakan di masjid juga hanya dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang,” katanya menerusi kenyataan itu.

Beliau mendoakan moga segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT dan wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat olehNya.

Semalam, negeri Kelantan merekodkan tujuh kes baru dengan manakala Kuala Lumpur pula merekodkan 93 kes dan Selangor pula merekodkan 189 kes baharu. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *