MR DIY Sumbang Alat Lawan COVID-19 Bernilai RM1.1 Juta Kepada KKM
1 min read
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menerima sumbangan peralatan untuk memerangi pandemik COVID-19 dengan nilai keseluruhan RM1.1 juta daripada rangkaian runcit barangan rumah, MR D.I.Y.
Antara sumbangan adalah peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka, pelindung muka dan cecair pembasmi kuman yang akan diedarkan kepada 76 fasiliti KKM seluruh negara antaranya hospital, klinik kesihatan dan pejabat kesihatan.
Sumbangan itu diserahkan oleh Pengerusi MR D.I.Y. Datuk Azlam Shah Alias kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di pejabatnya di Putrajaya pada hari Jumaat.
Hadir sama Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Mohd Shafiq.
Daripada jumlah tersebut, Azlam Shah berkata peralatan bernilai RM700,000 telah dihantar awal ke Sabah pada bulan lepas ekoran situasi yang mendesak di negeri tersebut.
Setakat hari ini, MR D.I.Y telah menghulurkan sumbangan berbentuk peralatan bernilai RM5 juta.
— BERNAMA