Kerajaan Sedang Kaji Untuk Sambung PKPB Sampai Hujung Tahun
1 min read
Kerajaan sedang buat kajian untuk menyambung tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sampai hujung tahun jika bilangan kes positif COVID-19 terus menunjukkan kes yang tinggi.
Perkara itu diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Yusof dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Beliau berkata PKPB dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di setiap kawasan terbabit termasuk mengambil kira jumlah kes positif dan kadar kebolehjangkitan dalam kawasan berkenaan.
“Pada masa sama, tindakan membendung penularan perlu kita laksanakan bagi mencegah dan mengurangkan kes Covid-19 seminimum yang boleh atau sehingga sifar kes melalui PKPB,” katanya.
BACA JUGA – Cara KKM Hargai Barisan Hadapan, Gaji Doktor Kontrak Diselaras
Dalam pada itu, ketika sesi bahas Belanjawan 2021 di peringkat dasar, Redzuan berkata kerajaan juga sentiasa mengambil maklum keperitan rakyat dalam menempuhi kemerosotan ekonomi akibat wabak.
“Oleh itu, SOP sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan ditambah baik mengikut keperluan rakyat,” katanya.
PKPB dikuatkuasakan semula di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Nov lalu susulan peningkatan kes Covid-19.
Ia dikuatkuasakan selama 2 minggu, serta dilanjutkan beberapa kali dan dijangka berakhir pada 6 Dis ini.
Selang beberapa hari, perintah sama kemudian dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.
Kelantan dikenakan PKPB bermula Sabtu lepas. – Sepatah Dua