MyVXp : Nur Maisarah Cerita Sendiri Kisah Beliau Sesat 19 Hari Di Gunung Tahan Pada 2008 Untuk Anda Live
3 min read
Bayangkan kalau diri anda terperangkap dalam hutan tebal entah di mana-mana lokasi dalam hutan tu seorang diri selama 19 hari dengan keadaan sehelai sepinggang. Apa yang anda akan lakukan rasa-rasanya? Apa pula yang anda rasa jika anda tahu ada peluang untuk mendengar cerita dari orang yang benar-benar terperangkap sebegitu rupa?
Itulah pengalaman yang dirasai oleh Nur Maisarah Sameaun, 33 tahun yang lebih mesra dikenali sebagai Umai yang terperangkap di dalam hutan di Gunung Tahan selepas terpisah dari rakan-rakannya selama 19 hari berseorangan.
Kalau menurut laporan berita Harian Metro, “Hanya coklat choki-choki dan air sungai dijadikan alas perut selama tempoh 19 hari saya tersesat di dalam hutan,” katanya.
Secara jujur, Nur Maisarah berkata ketika awal-awal beliau sesat, keluarganya yakin beliau akan dijumpai tetapi selepas dua minggu masih tak ada khabar berita, ibunya sudah mula berfikir mungkin tidak akan dapat berjumpa beliau lagi
Kejadian berkenaan berlaku ketika Nur Maisarah menyertai ekspedisi ke puncak gunung itu pada bulan Februari 2008. Apa yang Nur Maisarah lakukan untuk terus kekal kuat dan selamat dalam peristiwa itu? Itulah yang diceritakan oleh beliau sendiri dalam satu daripada sesi Malaysia Virtual Experience (MyVXp) : Digital Tourism Unlimited pada Oktober lepas.

Nur Maisarah akan mengadakan sesi seterusnya nanti pada satu tarikh istimewa 12 Disember 2020 nanti dan ketika ini sedang dalam persediaan. Beliau diberi bimbingan oleh Mentor MyVXp Muhamadlaili Basir.
Menurut beliau, Muhamadlaili yang mencadangkan supaya menyertai program MyVXp berkenaan dan menceritakan pengalaman sendiri tersesat di dalam hutan dalam jangka masa yang lama.
Muhamadlaili ialah seorang aktivis alam sekitar yang mengendalikan Projek HUGS iaitu Helping Unfortunate Groups and Society iaitu bantuan kemanusiaan dan kini mereka memberikan fokus memberi bantuan ke seluurh Sabah, khususnya di Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, dalam sesi itu, beliau menceritakan bagaimana pengalaman sesat seorang diri.
“Saya ceritakan pengalaman berkenaan yang berlaku pada 2008, bagaimana boleh terpisah dari kumpulan, bagaimana saya melalui hari demi hari di sana sehingga menemui bantuan pada hari ke-19 serta apakah moral yang saya perolehi selepas terselamat dari kejadian tersebut,” katanya.
Bagi Nur Maisarah, program MyVXp merupakan satu-satunya program yang sangat realistik untuk mengetengahkan pengalaman unik rakyat Malaysia dan aktiviti menarik di Malaysia memandangkan seluruh dunia sedang dilanda pandemik COVID-19.
“Walaupun, kita hanya berkongsi alam maya, tetapi audiens tetap dapat merasai dan menghayatinya seolah-oleh berada di dunia sebenar,” kata Nur Maisarah.
Ini adalah satu idea yang baik untuk rakyat Malaysia yang ada pengalaman menarik atau idea yang unik untuk berkongsi dan menjana pendapatan secara atas talian.
Menjawab soalan apakah semangat yang dipegang kuat oleh Nur Maisarah ketika sesat, beliau menyifatkan ahli keluarga beliau merupakan semangat sepanjang berada di dalam hutan berkenaan.

“Sepanjang 19 hari saya berdoa dan berusaha untuk keluar dari Gunung Tahan supaya dapat kembali kepada mereka. Saya pernah berputus asa dan terasa takkan mampu untuk terselamat dari hutan belantara itu. Tetapi azam yang kuat untuk kembali kepada keluarga itu buatkan saya sedar saya tidak boleh mengalah,” katanya.
Secara jujur, Nur Maisarah berkata ketika awal-awal beliau sesat, keluarganya yakin beliau akan dijumpai tetapi selepas dua minggu masih tak ada khabar berita, ibunya sudah mula berfikir mungkin tidak akan dapat berjumpa beliau lagi.
“Tapi bapa saya yakin saya masih hidup,” katanya

Anda mesti mengambil peluang mengikuti sesi MyVXp Nur Maisarah kerana pengalamannya begitu berharga dan boleh anda jadikan panduan jika anda mengalami situasi yang sama mana tahu satu masa nanti. – Sepatah Dua