Bekerja Sendiri, GIG Digalak Carum Perkeso – Menteri

Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang untuk mewajibkan semua pekerja termasuk yang bekerja sendiri dan pekerja ekonomi sementara (gig-economy) supaya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata akta sedia ada iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) perlu dipinda bagi membolehkan keselamatan dan kepentingan pekerja dalam sektor berkenaan terjamin.

Beliau berkata ramai rakyat negara ini tidak menyedari kepentingan mencarum dan beranggapan Perkeso hanya beri bantuan sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.

“Saya ingin mewajibkan pencaruman Perkeso untuk semua lapisan masyarakat termasuk yang bekerja sendiri dan ‘gig-economy’. Yang penting kita perlu tukar akta, beri sedikit masa dan rakyat perlu beri sokongan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Faedah Pemulihan Kepada Orang Berinsurans Perkeso di Bangunan IKTAR, Hospital Kuala Lumpur pada Selasa beliau berkata, akta sedia ada mempunyai kekangan dan perlu dikaji semula bagi membolehkan golongan pekerja seperti pemandu bas atau perniagaan sendiri turut mendapat bantuan keselamatan.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, hampir sebahagian besar golongan B40 tidak mempunyai sebarang jaringan keselamatan dan kerana itu Perkeso sudah mula mengkaji dan meneliti akta sedia ada. Saya telah minta ahli lembaga Perkeso mengkaji perkara itu, dan ia akan dibawa ke jawatankuasa kabinet untuk membuat perubahan dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.

Merujuk kepada majlis hari ini (semalam), Saravanan berkata seorang pekerja di syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn Bhd, T. V. Vijaya Kumaran, 51 yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 12 April lepas didapati mencarum dengan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Beliau berkata caruman itu membolehkan Vijaya menerima bantuan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Perubatan dan Faedah Pemulihan menerusi Program ‘Return to Work (RTW).

“Ini kes yang cukup klasik yang mana pencarum sendiri tidak sedar beliau sudah mencarum Perkeso dan boleh mendapat bantuan. Setelah diteliti, dia layak untuk mendapat pelbagai bantuan termasuk bantuan pembedahan,” katanya.

Vijaya terpaksa menjalani pembedahan implan tempurung kepala sebelah kiri dan kos implan yang ditaksirkan berjumlah RM23,000, ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Alam Flora Kuala Lumpur Kuit Kheng Keong.
— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *