September 26, 2023

MyVXp : Bersama Hos Mohd Nazri, Rasai Seolah-Olah Terbang Paragliding Secara Maya

3 min read

Pengalaman mengikuti persembahan Malaysia Virtual Experiene (MyVXp) : Digital Tourism Unlimited bukan sekadar tempat menarik atau pengalaman menarik di atas darat sahaja, tetapi ada juga persembahan sesi secara langsung dari atas udara di awan biru.

Itu adalah persembahan yang disajikan oleh Pengarah Urusan Cloud Bass Enterprise Mohd Nazri Sulaiman yang memberikan anda pengalaman merasai Paragliding secara langsung seperti anda yang seolah-olah berada di udara. Antara pelbagai persembahan yang ada dalam MyVXp, persembahan yang diberi nama “Tandem Paragliding : Before You Fly, Experience The Flight Online” merupakan antara yang paling unik.

Menurut beliau, apa yang beliau akan tunjukkan ketika siaran perkongsian MyVXp beliau ialah secara asasnya terbang di udara. Mohd Nazri akan melakukan penerbangannya secara langsung dari Kuala Kubu Bharu Paragliding Park, di Bukit Patu Pahat yang bertempat di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu.

“Saya akan membuat penerbangan dan ditonton secara Live untuk membawa penonton seolah-olah terbang bersama saya,” katanya.

Mohd Nazri merupakan hanya seorang daripada ratusan lagi produk MyVXp yang menarik, unik serta mencerminkan kehebatan Malaysia dan keindahannya kepada penonton secara alam maya. MyVXp dicetuskan oleh Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Matlamatnya ialah untuk memberi jalan kepada penggiat industri pelancongan untuk masih boleh mencari rezeki dan pendapatan melalui perkongsian produk pelancongan mereka secara atas talian dek kerana orang ramai tidak boleh melancong untuk datang ke lokasi mereka untuk merasai pengalaman dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ketika ini masih dikenakan di beberapa buah negeri.

BACA JUGA – MyVXp : Fredo Flybaits Jadi Artis Pertama Malaysia Buat Persembahan Normal Baharu Eksklusif Atas Talian

Dengan MyVXp, orang ramai masih boleh melancong secara maya dan masih menyumbang kepada penggiat industri pelancongan berkenaan.

Ia adalah persembahan berbayar eksklusif yang terhad kepada hanya beberapa orang sahaja supaya perkongsian berkenaan lebih interaktif dan semua yang mengikutinya boleh berkomunikasi dengan hos secara langsung. Ia akan berlangsung selama kira-kira satu jam.

Mohd Nazri ketika mengendalikan siaran langsung MyVXp Tandem Paragliding beliau dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Bercakap tentang cabaran yang beliau hadapi, Mohd Nazri berkata talian komunikasi yang tidak stabil serta keadaan cuaca yang sukar diramal merupakan perkara yang terpaksa dihadapi oleh beliau semasa sesi perkongsian berkenaan.

Menurut beliau, TPN memberikan peranan penting dalam membantu pemain industri pelancongan seperti beliau dalam mempertingkat dan memperluaskan perniagaan dengan idea MyVXp ini.

“MyVxP adalah salah satu platform yang sangat berkesan dalam memperluaskan apa juga bidang perniagaan dalam bentuk digital terutama dalam suasana COVID-19 sekarang ini,” kata Mohd Nazri.

Situasi krisis pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia benar-benar menjadikan industri pelancongan lumpuh bukan sahaja di negara ini malahan seluruh dunia kerana banyak negara masih belum membuka pintu sempadan untuk tujuan pelancongan sebaliknya hanya untuk kemasukan tertentu sahaja.

Poster sesi MyVXp Mohd Nazri sebelum ini yang berlangsung pada 7 Oktober lepas.

Di dalam negara, kerana bilangan kes jangkitan yang turun naik memaksa ada sesetengah negeri dikenakan PKPB sekali lagi sekaligus melarang perjalanan rentas daerah dan negeri sehingga para penggiat industri pelancongan tempatan juga turut terjejas.

Dengan lebih ramai mereka yang ada perkara unik dan berbeza serta berpotensi dikongsi dengan semua orang, program MyVXp boleh membantu lebih ramai orang mencari pendapatan tatkala pandemik ini tetapi promosinya harus digiatkan lagi dan persembahan perlu dibuat secara berkala dan tidak hanya sekali sahaja. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *