Hendak Tahu Bagaimana Nama Bima Sakti Ada? Sesi MyVXp Hafez Murtza Dan Amirul Hazim Ada Jawapannya
2 min read
Anda pernah tahu tak bagaimana galaksi alam semesta kita yang diberi nama Bima Sakti itu mendapat namanya? Pernah tahu cerita tentang gugusan bintang-bintang yang kita selalunya terpesona bila ternampak ia bergemerlapan di waktu malam? Pernah tahu ke apa asal usul bintang-bintang itu diperjelaskan dari aspek Sains.
Kalau hendak tahu, sesi Malaysia Virtual Experience (MyVXp) : Digital Tourism Unlimited, bersama Pengasas Apadilangit, Hafez Murtza dan Pengasas Bersama Apadilangit Amirul Hazim malam ini adalah jawapan kepada rasa ingin tahu anda.
SESI BIMA SAKTI MEREKA AKAN BERLANGSUNG PADA MALAM INI PUKUL 9 MALAM UNTUK MENYAKSIKANNYA, KLIK PAUTAN INI https://www.billplz.com/bimamendapatsakti
Mereka berdua akan mengisahkan bagaimana gugusan bintang berwarna putih di langit malam digelar Bima Sakti.
Mereka akan menceritakan bagaimana Hikayat Mahabrata yang juga warisan masyarakat Jawa dan akhirnya menjadi milik bersama Nusantara apabila gugusan bintang itu diberi nama Bima Sakti.

Apa yang mereka sampaikan ialah satu pengalaman pelancongan yang diberi nama Astro Tourism atau Pelancongan Astronomi.
BACA JUGA – RM200 Juta Untuk Sektor Pelancongan, Tak Diumum Dalam Belanjawan 2021
Hafez berkata platform Apadilangit memfokuskan pendidikan astronomi dan angkasa kepada masyarkat melalui bengkel, kem dan bual bicara.
“Untuk meluaskan lagi capaian, kami mengembangkan misi kami, kami melihat kepentingan memperkenalkan kawasan langit gelap yang boleh menjadi kawasan cerapan yang sesuai untuk melihat Bima Sakti di negara ini di samping mempopularkan konsep pelancongan melihat langit.
“Kami memperkenalkan Apadilangit Agro-Tourism dan membentangkan idea ini kepada Tuan Uzaidi Udanis Presiden MITA, dan beliau telah bersetuju memperkenalkan niche kepada industri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata Uzaidi telah menjemput mereka untuk pembentangan di Pusat Pelancongan Malaysia dan seterusnya mencadangkan mereka mendapatkan bimbingan daripada seorang daripada Mentor MyVXp, Zamiel Zukie untuk membuat persembahan dalam sesi MyVXp.


Menceritakan bagaimana idea mempersembahkan tentang galaksi, Hafez berkata ia bermula ketika mula-mula menganjurkan program Langit Gelap bersama Planetarium Negara, Resensi Buku Novel “Bima Sakti Menari” pada 2018, beliau tertanya-tanya kenapa gugusan bintang di langit malam dipanggil Bima Sakti dalam budaya masyarakat.
“Ia tidak pula dipanggil Jalur susu “Milky Way”. Pada waktu itu saya tidak menemui jawapan tersebut. Sehinggalah pada satu masa di Makmal Fizik Angkasa UM kami berbual bersama Pak Joko dan beliau menceritakan kisah ini,” katanya.
Bagi diri beliau, MyVXp dan Tourism Productivity Nexus (TPN) merupakan platform yang sesuai untuk memperkenalkan konsep Astro-tourism kepada masyarakat.
“Untuk memperkenalkan konsep ini di zaman norma baharu, kami memerlukan idea yang kreatif. Ini kerana kebiasaanya Astro-tourism memerlukan seseorang berada di kawasan yang kurang pencemaran cahaya dan menikmati keindahan langit gelap yang penuh bintang dan melihat keindahan Galaksi Bima Sakti.
“Pada masa yang sama ada tukang cerita yang akan menceritakan dan menghuraikan apa di langit membolehkan pelancong memahami tentang alam semesta yang luas ini,” katanya.
Pendekatan Apadilangit dalam industri pelancongan di negara ini benar-benar berbeza dan unik membawa orang ramai mendekati apa yang dinamakan pelancongan pencerapan angkasa. – Sepatah Dua