Tiga Kluster Baharu Dari Tempat Kerja

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 yang kesemuanya melibatkan tempat kerja di beberapa daerah di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah dan Terangganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Bukit Gemok melibatkan daerah Tawau di Sabah iaitu kes indeks telah dilaporkan positif pada 5 Dis lepas, hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 71 individu telah disaring dan 10 kes telah dikesan positif,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini situasi COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua ialah Kluster Tapak Bina Cendana melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

“Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah kes-kes awal bagi kluster ini telah dilaporkan positif bermula 10 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, sejumlah 175 individu telah disaring, dengan 11 kes telah dikesan positif dalam kluster ini yang melibatkan seorang warganegara (dan 10 bukan warganegara),” katanya.

Bagi Kluster Dang Mutiara, Dr Noor Hisham berkata kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor serta daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dilaporkan positif pada 9 Dis lepas hasil saringan sign on (daftar masuk) pelantar minyak dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga hari ini, sejumlah 102 individu telah disaring dan 10 kes telah dikesan positif bagi kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 410 manakala kluster aktif yang dipantau sebanyak 189.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 221 kluster termasuk empat kluster yang tamat hari ini, iaitu Kluster Abell di Sarawak, Kluster Seridana di Putrajaya serta Kluster Limbungan dan Kluster Bina Labuan di Labuan,” tambahnya.

— BERNAMA

One thought on “Tiga Kluster Baharu Dari Tempat Kerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *