Da’i Syed Solat Jemaah Bersama Banduan, Kenangan Tak Boleh Dilupakan

Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful mengaku antara hikmah direman 19 hari berjaya diperolehnya adalah dia berpeluang menunaikan solat beramai-ramai dengan banduan lain tepat pada waktunya.

Selebriti dari rancangan berunsur dakwah berusia 25 tahun itu berkata demikian sebaik dibebaskan dengan ikat jamin di kedua-dua mahkamah termasuk di Petaling Jaya hari ini.

“Duduk dalam pun seronok juga, boleh sembahyang dengan cepat pada waktunya dan berjemaah dengan banduan lain,” katanya dalam rakaman klip video mStar.

Selain itu kata Syed Shah Iqmal, dia turut menghabiskan waktu terluangnnya untuk mencurahkan perasaan terhadap lagu baru yang ditulis sewaktu direman.

“Saya luahkan perasaaan dan jiwa meronta-ronta saya yang sedih ni dengan menulis lagu. Dalam lagu tu cerita seribu satu kisah hidup saya,” katanya.

Semalam media melaporkan, Syed Shah Iqmal terpaksa bermalam sehari lagi – selepas mula direman 27 November lalu – kerana perlu menjalani proses saringan Covid-19 walaupun selepas wang ikat jamin sudah diselesaikan.

Dia sebelum itu dihadapkan dengan pertuduhan melakukan seks di luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bekas peserta program berunsur keagamaan itu juga dihadapkan dengan pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seseorang terhadap wanita sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM25,000 terhadap kedua-dua dakwaan tersebut.

Syed Shah Iqmal yang juga penyanyi dan pelakon itu juga dihadapkan dengan pertuduhan merogol di Mahkamah Shah Alam pada hari sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah Sesyen kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan.

Menganggap dugaan diterima sebagai teguran daripada Allah SWT, Syed Shah Iqmal juga memohon semua pihak memberi ruang kepadanya untuk dia memulihkan jiwa dan mentalnya.

Dia turut meluahkan ingin melepaskan perasaan rindu bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Bukan kata tak nak diganggu tapi perlukan sedikit ruang untuk baik pulih jiwa dan mental kerana apa yang berlaku membuatkan saya turut bersedih.

“Apa pun saya derdoa agar Allah permudah urusan saya. Yang sebaik-baiknya adalah orang yang minta maaf dan yang terbaik adalah orang yang memaafkan.

“Saya memohon maaf pada semua dan memaafkan semua orang yang mengutuk dan menghina saya,” katanya.

Berkenaan gelaran ‘Dai’, Syed Shah Iqmal berkata, ia hanyalah gelaran dan boleh dilucutkan pada bila-bila masa.

“Dai hanyalah satu gelaran, hakikatnya semua orang adalah dai. Lucut atau tidak lucut tak jadi masalah yang penting untuk sampaikan risalah nabi pada semua orang kerana dai hanya pada nama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *