June 3, 2023

Tabung Wakaf Air Satu Idea Di Luar Kotak

2 min read

Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) melancarkan Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Putrajaya pada 17 Disember 2020.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek itu adalah bagi menyediakan sumber pembiayaan alternatif perkhidmatan air secara mudah, cepat serta mampan yang diwujudkan melalui wakaf tunai Malaysia YWM.

Katanya,Wakaf Air itu adalah salah satu strategi pembiayaan inovatif bagi mengadakan perkhidmatan air berskala kecil khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman yang tidak dapat dicapai oleh operator air.

“Wakaf Air sudah menerima lebih RM 7 juta sumbangan daripada individu dan pelbagai pihak. Setakat ini sebanyak 30 permohonan diterima di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bakal dilaksanakan awal Januari tahun depan,” katanya pada sidang Majlis Pelancaran Wakaf Air di kementeriannya di Putrajaya.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Pengerusi YWM ,Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Ruslan Said.

Projek Wakaf Air bertujuan membiayai projek perkhidmatan air bernilai di bawah RM50,000 merangkumi penggalian perigi, sambungan penyelenggaraan dan pembelian alat ganti.

Pada majlis itu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara KASA dan YWM turut dimeterai diwakili Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin.

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan projek dan pemantauan pelaksanaan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Induk yang diadakan secara kolaborasi membabitkan Jawatankuasa Teknikal KASA, YWM, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi berkaitan.

Menurutnya, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak sama ada orang ramai, sektor swasta dan organisasi akan disalurkan kepada Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air.

Katanya, bagi memudahkan urusan wakaf, orang ramai boleh menyumbang secara dalam talian dengan hanya RM10.

“Sebagai langkah jangka panjang, sebahagian daripada wakaf ini akan dilaburkan dalam portfolio yang dibenarkan.

“Manfaat pelaburan nanti akan diagihkan untuk membiayai projek Wakaf Air yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.

Beliau turut menegaskan penubuhan Wakaf Air ini bukan bermaksud kerajaan dan operator air melepaskan tanggungjawab kepada orang awam untuk membina serta menyelenggara infrastruktur air di negara ini.

“Wakaf Air adalah instrumen pembiayaan alternatif dan pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan air yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *