Selepas 20 Tahun Meringkuk Dalam Penjara, Barulah Dia Disahkan Tak Bersalah…

Seorang lelaki Korea Selatan yang menghabiskan 20 tahun dipenjarakan atas kesalahan rogol dan bunuh, didapati tidak bersalah selepas penjenayah sebenar membuat pengakuan.

Beliau berjaya membersihkan namanya selepas seorang pembunuh bersiri yang terkenal di negara itu mengaku memperkosa dan membunuh mangsa, seorang gadis berusia 13 tahun, pada 1988.

Yoon Seong-yeo, 53, yang dihukum penjara seumur hidup, dibebaskan dengan parol pada 2009, selepas 20 tahun dipenjarakan.

Dia mendengar dengan tenang ketika Hakim Mahkamah daerah Suwon, Park Jeong-je, meminta maaf kepadanya Khamis lalu bagi pihak badan kehakiman kerana menyebabkan ‘kesakitan fizikal dan mental sangat besar’ akibat keputusan yang salah.

“Tertuduh tidak bersalah,” umum Park dan pembebasan Seong-yeo disambut tepukan gemuruh daripada penyokongnya di galeri.

“Saya harap tiada sesiapa yang perlu melalui apa yang saya lalui dan semua kes menerima perbicaraan yang adil,” kata Yoon kepada pemberita selepas keputusan itu.

Seong-yeo, yang ketika itu berusia 22 tahun dan bekerja sebagai mekanik di sebuah rumah ladang di Hwaseong, ditahan pada Julai 1989 selepas polis menuduhnya merogol dan membunuh seorang gadis pada September 1988.

Antara 1986 dan 1991, 10 wanita pelbagai peringkat usia dirogol serta dibunuh dengan kejam di kawasan Hwaseong dan Yoon ditahan selepas polis dikritik hebat kerana gagal mengenal pasti pembunuh bersiri itu.

Polis membuat kesimpulan Seong-yeo meniru siri jenayah yang berlaku walaupun dia menafikannya dan menyatakan bahawa penyiasat polis memaksanya untuk mengaku melakukan jenayah berkenaan.

Mahkamah Daerah Suwon menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Oktober 1989, yang kemudian disahkan Mahkamah Agung pada Mei 1990.

Ketika siri kes pembunuhan Hwaseong dilihat tidak berkesudahan, tahun lalu pihak polis mengumumkan ada suspek lain yang membuat pengakuan.

Lee Chun-jae, seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kakak iparnya pada 1994, mengaku melakukan pembunuhan termasuk gadis berusia 13 tahun itu, mendorong Seong-yeo memfailkan perbicaraan semula.

Chun-jae turut memberi keterangan pada perbicaraan semula Seong-yeo bulan lalu dan mengulangi pengakuannya.

Pembunuhan di Hwaseong juga ilham kepada penerbitan filem ‘Memories of Murder’ pada 2003 dan mencipta kejayaan bagi pengarah, Bong Joon Ho, yang memenangi filem terbaik Anugerah Akademi pada tahun ini bagi filem ‘Parasite’. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *