September 24, 2023

Kerajaan Meterai Perjanjian Untuk Dapatkan Tambahan 10 Peratus Vaksin COVID-19 Iaitu Sebanyak 6.4 Juta Dos

2 min read

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan telah memeterai perjanjian dengan syarikat Astra Zeneca untuk mendapatkan 6.4 juta dos vaksin COVID-19 atau dengan kata lain tambahan dos sebanyak 10 peratus lagi.

Sebelum ini kerajaan sudah membuat perjanjian awal dengan fasiliti COVAX dan Pfize untu mendapatkan vaksin dan jaminan bekalan sebanyak 30 peratus daripada populasi di dalam negara.

“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus telah diperoleh menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan AstraZeneca.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan syarikat pengeluar vaksin iaitu Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan tambahan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya dalam perutusan khas menerusi video mengenai perkembangan terkini pemberian vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia, pagi ini.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat negara ini.

BACA JUGA : Tiga Kluster Baharu Dari Tempat Kerja

Muhyiddin berkata, kerajaan akan membelanjakan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion), melalui semua rundingan dan perjanjian yang sudah dan akan dimeterai buat masa ini.

“Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal kita iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara.

“Ini termasuk melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.

“Kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi. Vaksin diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” katanya.

Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin sudah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.

“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar, seawal Februari 2021.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperoleh dan digunakan,” katanya.

Sementara itu, beliau menawarkan diri untuk menjadi indivitu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19.

Langkah itu ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin berkenaan yang diperoleh adalah selamat dan berkesan.

“Ini akan diikuti dengan petugas barisan hadapan, sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik,” katanya dalam perutusan sama. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *