Scammer Poland Dan US ‘Sedut’ RM284,500 Dari Orang Kita

KES kejadian penipuan atau scam dalam laman Facebook ada yang berselindung di sebalik janji `cinta antara dua benua’ dan ada juga atas janji nak cepat kekayaan. Terkini, dua kes dilaporkan mengakibatkan kerugian RM284,500 dalam tempoh dua minggu sejak 11 Disember 2020 lalu.

Ia termasuk seorang wanita berusia 40-an dari Kepala Batas, Butterworth, Pulau Pinang yang telah tertipu sebanyak RM177,500 selepas berkenalan selama lebih sebulan dengan seorang lelaki dari Poland dan kes ini telah dilaporkan kepada polis pada 11 Disember 2020.

Mangsa yang kedua pula ialah seorang lelaki berumur 61 tahun dari Kluang, Johor yang kerugian RM107,000 pula selepas mengenali seorang wanita dari Amerika Syarikat dalam laman media sosial sejak November 2020 lalu dan lelaki terbabit membuat laporan polis pada 18 Disember 2020.

Ia mengambarkan seolah-olah mangsa terbabit tidak berhati-hati serta tidak beringat ke atas warga asing yang kita hanya mengenalinya dalam Facebook juga dipercayai dilakukan oleh anggota sindiket African Scam sentiasa mencari mangsanya mempunyai wang sebelum menawarkan pelbagai janji.

Bayangkan dalam masa dua minggu sahaja terdapat dua kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan kita tidak pasti kemungkinan banyak lagi kes tersebut dirahsiakan akibat ia memalukannya kerana mangsa cepat terpedaya `ayat cinta’ atau ‘kilauan emas permata’ daripada warga asing terbabit sama ada lelaki ataupun wanita.

Sepatutnya mangsa penipuan itu tidak mudah terjerat dengan cinta murahan atau janji melangit yang ditaburkan oleh warga asing ketika melayari teman alam maya jikalau kita sedar bahawa sebelum ini banyak kejadian penipuan.

Ini kerana tidak mustahil perkenalan yang tercipta dalam masa sesingkat tetapi warga asing itu sanggup pula memberi pelbagai hadiah menarik atau kekayaan segera untuk meyakinkan hati mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa wanita terbabit mengalami kerugian RM177,500 itu berasal dari Kepala Batas, Butterworth akibat terjerat selepas mengenali seorang lelaki di Facebook hanya dalam masa lebih sebulan sahaja.

Beliau berkata, lelaki tersebut memberitahu mangsa bahawa dia ada mengirim wang serta hadiah kepadanya melalui sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran di Kuala Lumpur.

“Dengan pengiriman wang serta barangan hadiah itu, lelaki dari Poland itu telah mengarahkan mangsa supaya membayar cukai, insurans dan caj perkhidmatan lain sebelum mengambil barangan tersebut yang berada di Kuala Lumpur.

“Akibat terperdaya dengan kata-kata lelaki itu yang meyakinkan menyebabkan wanita itu tanpa berfikir panjang telah membuat 17 transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun tempatan dalam masa dua hari yang jumlah kesemuanya ialah RM177,500,’’ katanya seperti dilaporkan dalam media pada 11 Disember 2020 lalu.

Mangsa kedua penipuan itu terjadi apabila seorang lelaki mengenali seorang wanita bernama Laura Andreson mendakwa dirinya sebagai Kapten Tentera Laut Amerika Syarikat berkerja di Iraq di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata mangsa lelaki itu berkenalan dengan Laura dalam Facebook sejak awal November 2020 lalu.

Beliau memberitahu, lelaki itu ditipu selepas Laura berjanji akan menghantar wang, emas dan belian iaitu barangan yang dirampas daripada hasil pemberontak di Iraq kepada lelaki terbabit.

“Selepas itu mangsa dihubungi pula oleh seorang wanita Melayu yang kononnya mendakwa sebagai ejen penghantar barangan dan wanita itu meminta mangsa membuat bayaran untuk kos perkhidmatan penghantaran wang, sijil, pengubahan wang haram dan cukai emas.

“Akibat wanita Melayu yang menghubungi mangsa telah menambahkan lagi keyakinannya menyebabkan mangsa tanpa berfikir panjang telah membuat sembilan transaksi pembayaran berjumlah RM107,000,’’ kata Mohd Salleh dalam satu kenyataan pada 18 Disember 2020 lalu.

Lelaki yang berumur 61 tahun itu menyedari dirinya tertipu apabila akaun Facebook mangsa disekat oleh Laura.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *