2021 Menjelma Dengan Sepenuh Harapan…
3 min read
Fyrverkeribilde i årstallet 2021.
Tarikh 20 Mac 2020 antara detik paling pahit dan mencabar bagi umat Islam di Malaysia. Jika kita ingat, inilah Hari Jumaat pertama di Malaysia yang mana kita ditegah ke masjid kerana premis ibadah berkenaan diarahkan ditutup.
Seluruh negara tidak dibenarkan mengerjakan Solat Jumaat seperti kebiasaan. Masing-masing terpaksa menghampar sejadah dan sujud hanya di rumah masing-masing.
Pada ketika itu, ada yang menitiskan air mata. Ada yang berasa janggal apabila azan berkumandang, namun di turut diseru shollu fi rihaalikum (solat lah kalian di rumah).
Semua ini ‘norma baharu’ yang masing-masing terpaksa akur atas perintah dari pemerintah. Seperti yang dipesan di dalam Al-Quran Surah An-Nisa ayat 59 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
Walaupun ia tidak dinamakan darurat, namun pada amalan kita waktu itu, sudah boleh dikatakan ‘darurah’ yang memaksa kita melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Semua ini berlaku hanya kerana serangan virus maut bernama COVID-19 yang bukan biasa-biasa, sebaliknya melibatkan serangan nyawa manusia.
Syukur dengan gerak kerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, akhirnya lengkuk graf kes COVID-19 berjaya kita landaikan sehingga pada suatu ketika, negara mencatatkan ‘zero’ (0) kes baharu.
Asbab itulah kerajaan berani membenarkan beberapa sektor ekonomi dan pejabat kerajaan beroperasi seperti biasa secara berperingkat. Ingat lagi, amat janggal pada waktu itu untuk melangkah masuk ke pejabat.
Terasa seolah-olah ruang pejabat dikelilinggi dengan virus di sana sini. Jika tiada SOP pun, waktu itu masing-masing akan sentiasa menjaga amalan kesihatan dan kebersihan diri dengan sukarela.
Namun lama kelamaan, yang dinamakan manusia ini sudah tentu punya sifat lupa dan leka sentiasa. Setelah beberapa bulan PKP Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, suasana di sini sana seolah-olah seperti tiada sebarang wabak melanda.
Jika nak lihat sikap orang kita, maka lihatlah sekarang khususnya di pusat membeli belah, terminal feri, pasar-pasar awam dan sebagainya. Sekejap sahaja kita punya kesedaran, selepas semua dianggap kembali ‘okey’, maka kita pun sudah tak endah norma baharu atau SOP.
Ternyata tahun 2020 berlalu begitu sahaja. Banyak yang menitiskan air mata berbanding mengukir senyum di bibir. Ramai yang dibuang kerja, dikurangkan kadar upah, bertukar profesion dan ada yang masih menganggur.
Sedar tak sedar tahun yang kononnya menjadi wawasan untuk Malaysia maju ini akan berlabuh tirai. Ia akan pergi bersama-sama pelbagai onak dan duri yang kita tak undang. Musuh tak nampak masih berbaki di sisi.
Namun, hidup masih perlu diteruskan. Selagi Malaikat Izrail tidak datang menyabut nyawa kita dari jasad, selagi itulah kita wajib berjuang untuk terus hidup di bumi fana’ ini.
Fajar tahun 2021 pasti dinanti-nantikan ramai pihak. Seperti rama-rama keluar dari kepompong di pagi hari yang dingin, terbang dengan tenang sambil diwarnai kehijauan daun dan warna-warni bung ataman.
Kita semua mengharapkan pada tahun 2021 ini pandemik COVID-19 dapat dikalahkan, sekali gus memungkinkan lebih banyak norma lama mampu dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.
Antara harapan kita adalah terhadap vaksin COVID-19 yang dipercayai akan masuk ke pintu Malaysia sekitar Januari hingga Mac 2021. Jangan salah tanggapan, vaksin bukan bermaksud ubat untuk menyembuhkan. Tetapi ia suatu ikhtiar kita untuk mencegah diri dari menjadi mangsa COVID-19 berikutnya.
Bukan niat untuk kita mengimani vaksin, namun sandaran ramai pihak ternyata berfokus kepada suntikan cecair ini ke dalam badan.
Saya nampak, sekiranya vaksin telah disuntik ke badan rakyat Malaysia dan ia memberi kesan positif, maka lebih banyak amalan norma lama boleh dibenarkan kembali di negara ini.
Tidak kira apa jua bidang sekali pun, sama ada politik, agama, sukan, hiburan dan ekonomi, pada waktu itu mungkin suasana di kebanyakan pelusuk Malaysia akan kembali menjadi lebih normal seperti sebelum ini.
Kenduri kahwin, pilihan raya, ceramah-ceramah agama, pertandingan boling, persembahan konsert artis dan sebagainya, semua itu mungkin dibolehkan sedikit demi sedikit selepas ini.
Namun, bilakah ia akan berlaku?
Tanpa berpaksikan kepada maklumat tepat bidang perubatan, tidak mustahil semua ini akan kembali berubah sekitar pertengahan tahun 2021. Maka, negara kita dan kehidupan kita akan mula ‘rancak’ sekitar hujung tahun 2021 dan mungkin sepenuhnya pulih di tahun 2022 atau 2023.
Awas! Jika tiada penularan virus baharu yang sama bahaya atau lebih bahaya, mungkin jalur masa ini bertepatan. Namun sekiranya dicelahan kita sibuk memberi suntikan vaksin itu, tiba-tiba muncul pelbagai virus baharu, maka keadaan pasti berubah lagi menjadi teruk.
Yang penting, bagi tahun 2021 ini kita perlu sama-sama berganding bahu untuk menyekat penularan virus COVID-19 agar kehidupan kita makin dipermudahkan.
1 thought on “2021 Menjelma Dengan Sepenuh Harapan…”