Apakah Nasib Miskin Bandar?

KEWUJUDAN miskin bandar dilihat memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bank Dunia turut melaporkan cabaran utama dihadapi ekonomi sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah muncul kumpulan miskin baharu iaitu miskin bandar.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suryati Ishak berkata, ia menyebabkan ketidakseimbangan di bandar berterusan seterusnya mengakibatkan pertumbuhan ekonomi terjejas di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sentiasa memberi perhatian dan bantuan sewajarnya kepada golongan miskin bandar namun dengan memberikan bantuan kewangan sahaja ia tidak membantu menyelesaikan masalah kelompok ini untuk jangka masa panjang.

“Golongan miskin bandar perlu keluar daripada kemelut kemiskinan dengan menceburi program pertanian bandar, pendidikan dan latihan keusahawanan.

“Galakan perlu diberikan kepada golongan miskin bandar supaya terbabit pertanian bandar kerana program sebegini dapat meningkatkan ekonomi penduduk bandar di samping menjimatkan perbelanjaan dapur serta menjana pendapatan sampingan melalui hasil jualan sayuran dan herba.

“Selain itu, pendidikan dan kemahiran mampu mengubah nasib golongan miskin bandar. Program berasaskan komuniti dapat menawarkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran secara percuma,” katanya.

Menurutnya, menceburkan diri dalam perniagaan kecil seperti penyediaan makanan, jahitan dan perkhidmatan percetakan mampu memperbaiki keadaan ekonomi semasa mereka.

Dr Suryati berkata, kerjasama kerajaan dan badan bukan kerajaan membantu menawarkan pendidikan, latihan dan perniagaan ini kepada golongan miskin bandar adalah sangat digalakkan.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh meneruskan memberikan bantuan kewangan seperti Bantuan Sara Hidup terhadap golongan layak menerima bantuan.

“Di samping itu, pelan pembasmian kemiskinan perlu mengambil kira golongan miskin bandar yang menghadapi masalah perumahan, hak milik tanah, kekurangan infrastruktur, peluang pekerjaan lebih baik dan masalah kekurangan nutrisi.

“Kerajaan perlu mengenal pasti data untuk golongan miskin bandar supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *