Pelitup Hidung Dan Mulut Jadi Ancaman Baharu?

KEMENTERIAN Kesihatan sentiasa mengingatkan kita mengenai kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka. Sebenarnya, amalan pemakaian pelitup muka telah menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama jenis surgikal hanya diamalkan oleh petugas kesihatan di hospital dan klinik. Di hospital dan klinik, pelitup muka yang telah digunakan akan dikategorikan sebagai sisa klinikal kerana mengandungi cecair badan daripada rongga mulut dan hidung serta dilupuskan secara khusus oleh syarikat berlesen seperti tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Namun, dalam situasi norma baharu kini, setiap individu diwajibkan memakai pelitup muka sama ada jenis pakai buang ataupun fabrik yang boleh dibasuh semula terutama ketika berada di tempat awam yang sesak.

Peraturan ini dikuatkuasakan 1 Ogos lalu dan digazetkan oleh kerajaan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Sekiranya individu tidak memakai pelitup muka di tempat sesak termasuk dalam pengangkutan awam, denda RM1,000 boleh dikenakan.

Amalan norma baharu ini menjadikan pelitup muka pakai buang sebagai sampah baharu yang tidak lagi dilupuskan secara sisa buangan klinikal, tetapi sebagai sampah domestik. Bayangkan sekiranya lebih 30 juta rakyat Malaysia membuang pelitup muka terpakai ini setiap hari.

Hal ini menyebabkan pelitup muka terpakai menjadi sumber sampah baharu dalam jumlah besar. Sekiranya sisa pelitup muka terpakai ini dibuang melalui sisa domestik, ia akan dibawa ke tapak pelupusan sisa pepejal bersama sampah-sampah domestik lain. Pada kebiasaannya, sampah pepejal ini akan dibakar secara sederhana dan ini akan menghasilkan bahan pencemar udara daripada jenis bahan organik meruap (VOC).

Ini kerana bahan utama pembuatan pelitup muka pakai buang adalah daripada bahan kimia polipropilena selain getah sintetik yang digunakan untuk bahagian tali dan pelekat untuk menyambungkan bahagian tali dan bahagian utama pelitup muka.

Selain itu, bahan utama pelitup muka terpakai turut mengandungi mikrofiber yang boleh menjadi penyumbang kepada pencemaran air sekiranya resapan cecair sampah ini mengalir ke sungai dan laut. Malah, penggunaan logam sebagai pemegang di bahagian hidung pelitup muka ini juga akan menghasilkan pencemar daripada jenis bahan logam berat seperti kadmium dan kromium.

Lebih menyedihkan, pelitup muka terpakai dibuang di merata-rata tempat seperti mana dibuktikan melalui gambar yang banyak tersebar dalam media sosial. Sebagai peringatan, pelitup muka yang mengandungi bahan mikrofiber ini akan mengambil masa hampir 450 tahun untuk didegradasikan secara semula jadi. Justeru, sebelum keadaan menjadi lebih parah, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini.

DR. FAIZUAN ABDULLAH
Ketua Kumpulan Penyelidikan Kimia Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *