Kenapa Kes Positif Covid-19 Meningkat?
4 min read
SELEPAS lebih setahun dunia berdepan cabaran pandemik COVID-19, Malaysia kini memulakan tahun 2021 dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP). Pada fasa ini, Kerajaan membuat keputusan berani untuk membuka lebih banyak aktiviti ekonomi dan pendidikan.
Kerajaan mewajibkan saringan dengan lebih ramai melibatkan pekerja. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan lebih banyak kes baharu akan dikesan kerana sebelum ini ramai yang tidak pernah disaring.
Jika mereka tidak disaring, tiada siapa tahu status mereka sama ada sudah dijangkiti atau belum? Jika mereka yang sebenarnya ada virus COVID-19 di dalam badan tidak disaring dan dikesan, sudah tentu jangkitan tidak dapat dihentikan, malah lebih teruk ia akan merebak tanpa diketahui.
Dalam memerhati trend ini, pandangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba amat tepat dan mungkin dapat melegakan kita semua. Kes meningkat ini sebenarnya sudah dijangka! Dr Adham sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa KKM memang telah menjangka kes baharu akan naik akibat proses ujian saringan yang dilakukan.
Ia digerakkan di seluruh negara secara gerila atau besar-besaran oleh pasukan KKM yang bekerja siang dan malam. Masih ingat peristiwa di Sabah sekitar Oktober 2020? Bagaimana ia terjadi sehingga kes baharu COVID-19 melonjak tinggi dengan cepat? Sama saja kaedahnya, KKM menjalankan ujian saringan yang menyeluruh pada waktu itu.
Bak kata pepatah Melayu, “besar periuk, banyaklah keraknya”. Begitu juga dengan keadaan ini, makin banyak kita buat swab test, maka makin banyaklah keputusan kes positif dan negatif yang kita dapat tahu. Ingat lagi tak kira-kira 10 bulan lalu? Pada Mac 2020 kerajaan memerintahkan kita semua untuk berada di dalam rumah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tiada yang berada di jalan raya atau di premis pekerjaan waktu itu. Kes positf yang dilaporkan di kaca televisyen pada waktu itu menunjukkan trend menurun dengan cukup laju. Akhirnya kita mencatat rekod menjadikan ‘zero case’ atau tiada kes harian dilaporkan waktu itu. Jika ada sekali pun, sekadar satu atau dua angka sahaja.
Kenapa pula waktu itu kita boleh melandaikan lengkung graf COVID-19 negara? Semuanya kerana kita semua tidak keluar rumah, saringan pula tidak dilakukan. Maka, catatan kes baharu atau kes positif pun tiada atau makin berkurang. Sekarang kerajaan terpaksa izinkan sektor pekerjaan, pendidikan dan ekonomi beroperasi seperti biasa.
Para pekerja dan orang ramai berpusu-pusu keluar rumah dan melakukan aktiviti seperti kelaziman. Cuma ada tambahan sedikit pemintaan amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard (SOP).
Apabila sudah ramai yang keluar rumah, maka ujian saringan pun di buat di sini sana termasuklah di kilang-kilang dan syarikat-syarikat swasta. Premis kerajaan juga tidak tertinggal, asalkan ada manusia dan kes di sesuatu tempat itu, pasti KKM akan buat ujian saringan.
Maka tidak hairanlah kenapa kes positif baharu COVID-19 meningkat berbanding bulan April, Mei dan Jun 2020 lalu. Matematiknya cukup mudah, makin kerap dan banyak kita lakukan swab test, makin tinggilah keputusan kes positif yang kita dapat ketahui.
Keputusan terbaharu oleh pihak kerajaan adalah arahan untuk melakukan ujian saringan kepada 800 ribu orang pekerja seluruh negara dalam masa terdekat. KKM akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa agensi penguatkuasa yang lain.
Yang sudah siap disaring sekarang cuma kira-kira 95 ribu orang pekerja, yakni 11 peratus daripada hasrat kerajaan (883 ribu orang pekerja). Bayangkan, baru 11 peratus, angka kes positif yang kita catatkan telah mencecah nombor dua dengan empat digit. Dalam hal ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertanggungjawab membuat ujian saringan ini di seluruh negara.
Untuk menghabiskan angka 883 ribu orang ini, cuba kita bayangkan berapa lama ia diperlukan untuk menyaring? Mungkin ia memakan masa lima hingga enam bulan. Ini bermakna, kita akan berhadapan dengan kes positif yang tinggi selama tempoh berkenaan.
Rakyat perlu tahu, peningkatan kes positif yang setiap hari dilaporkan ini bukan sebab kegagalan sistem kesihatan negara ini. Walhal, ini menunjukkan keberanian, kesungguhan dan kesanggupan KKM untuk mengesan habis-habisan virus ini supaya ia dapat dihentikan dengan lebih pantas.
Bukan semua sistem kesihatan di dunia ini sanggup dan berani membuat ujian saringan sebanyak-banyaknya ke atas penduduk mereka. Bagi sesetengah negara lain, mereka tidak bersikap jujur dan tidak mampu menyaring penduduknya dalam angka yang besar seperti kita.
Tetapi bersyukurlah kerana kita mempunyai pemimpin dan jentera kerajaan yang berani, cekal, tabah dan jujur di KKM yang mahu memutuskan rantaian ini segera. Kalau kita tidak peduli pun nak membuat saringan, itu tidak akan sesekali memutuskan rantaian maut ini.
Malah dalam senyap-senyap jangkitan boleh berlaku, kematian akan berlaku tiba- tiba di sekeliling kita tanpa ada sebarang tanda awal. Pada akhirnya, rakyat tidak harus termakan dengan dakyah-dakyah kotor sesetengah pihak yang mungkin akan menghasut kononnya peningkatan kes positif yang tinggi sejak kebelakangan ini adalah tanda kerajaan telah gagal mengurus pandemik.
Ini semua adalah strategi dan gerak usaha Dr Adham Baba dan pasukannya di KKM untuk memutuskan virus maut yang telah mengubah nasib hidup kita semua. Hanya kerajaan yang bersungguh-sungguh dan berani sahaja yang mahu membuat saringan besar-besaran bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak maut ini.
Namun demikian, peranan orang ramai sangat penting untuk kita membudayakan norma baharu. Ini bukan soal kena kompaun RM1,000, tetapi soal tanggungjawab bersama mengekang penularan virus tak nampak.
DR. MUHAMMAD AL-KELANTANI
Bandar Baru Bangi
1 thought on “Kenapa Kes Positif Covid-19 Meningkat?”