Zaman Berubah, Dulu Tertunggu-Tunggu Surat Cinta, Kini Tertunggu Barang Online Yang Dibeli
2 min read
Masihkah anda ingat ketika zaman awal-awal dahulu, sekitar tahun 50-an hingga ke lewat 90-an, jika di rumah kita sentiasa tertunggu-tunggu kedatangan posmen untuk menghantar surat kiriman dari seseorang yang istimewa, menunggu kiriman kad ucapan hari perayaan dan mungkin tertunggu-tunggu kiriman poskad.
Selepas itu, trend kiriman surat semakin suram selepas lahirnya teknologi e-mel, perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) dan revolusi hidupnya media sosial. Ucapan atau kata-kata yang ingin disampaikan sudah tidak relevan diabadikan di dalam surat. Cukuplah sekadar elektronik, cepat sampai dan menjimatkan.
Ketika itu, kedengaran desas desus bahawa satu hari nanti perkhidmatan pos akan pupus dan lenyap.
Dalam Laporan Pekerjaan Masa Hadapan 2018, anggaran dibuat bahawa 133 juta jenis pekerjaan di dunia ini akan berubah menjadi pekerjaan baharu dan 75 juta pekerjaan pula akan pupus akibat perkembangan teknologi dan satu daripadanya berkaitan perkhidmatan pos.
Kini, ternyata perkara itu tidak benar malahan seluruh dunia sedang mengalami gelombang baharu pos atau penghantaran dengan saiz pasaran yang lebih besar serta lebih mencabar.
JOM BACA!! – DULU ANAK MURID, SEKARANG JADI SUAMI SENDIRI
Sekarang, selepas wujudnya pelbagai jenis platform jual beli secara atas talian, perkhidmatan pos masih kekal relevan malahan bercambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan melibatkan penghantaran barangan dan makanan.
Untuk membeli-belah masa sekarang, cukup duduk di rumah dengan telefon bimbit, pilih barangan yang anda mahu, bayar secara atas talian dan barangan akan dihantar terus ke rumah anda.
Di Malaysia sahaja, ada bermacam-macam platform pembelian atas talian yang terkenal seperti Shopee, Lazada dan Alibaba serta membeli-belah secara online turut dibuat di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
Sekarang, kita tertunggu-tunggu barangan yang kita pesan pula sampai dan kita tak sabar-sabar hendak menggunakannya sebaik ia tiba di rumah dihantar oleh pelbagai syarikat penghantaran yang wujud selari dengan wujudnya budaya membeli-belah secara online.
Pada Oktober tahun lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan penghantaran domestik bungkusan dan dokumen menunjukkan trend peningkatan apabila mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 61 juta bagi suku pertama tahun 2020.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata ia meningkat kira-kira 10 peratus berbanding 56 juta pada suku pertama tahun 2019.
Pada masa ini, kakitangan khidmat penghantaran ini bekerja bertungkus-lumus menghantar bungkusan yang meningkat apatahlagi ketika pandemik COVID-19 melanda sehingga membuatkan orang ramai memilih untuk membeli secara atas talian yang lebih mudah dan cepat.
Pada April tahun 2020, syarikat Pos Laju menerima 770,000 bungkusan sehari untuk dihantar dan ia sudah melebihi kapasiti syarikat berkenaan iaitu hanya 350,000 bungkusan sehari.
JOM SERTAI!! PELUANG MENANG RM100 DENGAN SEPATAHDUA.MY
Kalau dulu, anak dara mungkin duduk termenung ke luar tingkap menunggu surat dari kekasih hati yang jauh di mata, tetapi kini si dara termenung ke luar tingkap menunggu kenderaan penghantaran untuk menghantar barangan yang dibelinya secara atas talian, tolak tepi cinta cinta sekarang ini.
Bagaimana, urusan dunia boleh berubah secepat kilat daripada sibuk tertunggu surat kini sibuk tertunggu-tunggu barang yang dibeli. – Sepatah Dua