Tolong Sertakan Arahan PKP Bersama Bantuan Untuk Rakyat – Jalaluddin
2 min read
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar semalam, serta diikuti dengan pengisytiharan perintah darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada pagi 12 Januari 2021.
Semua tindakan ini adalah untuk memastikan penularan COVID-19 berjaya dicegah oleh pihak kerajaan dalam masa terdekat.
Sejajar dengan PKP dan perintah darurat ini, kerajaan telah disarankan menitik beratkan kebajikan rakyat yang terkesan.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias amat berharap agar dalam tempoh masa terdekat ini, kerajaan akan mengumumkan pula inisiatif tambahan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat PKP 2.0 ini.
“Saya ingin mengulangi semula cadangan yang dibawa oleh saya dan rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN) sewaktu Belanjawan 2021 yang lalu untuk dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyenaraikan dua rayuan BN untuk rakyat agar diperhalusi kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu, lanjutan moratorium secara automatik kepada semua untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan lagi.
“Penghapusan syarat pengeluaran I-Sinar KWSP, tiada lagi kategori 1 atau 2, sesiapa yang mempunyai baki wang dalam Akaun 1, akan dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak 10 peratus.
“Saya mohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya dua perkara ini. Pastinya rakyat di luar sana menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk memberikan bantuan yang sewajarnya bagi meminimakan kesan yang ditanggung mereka akibat daripada pelaksanaan PKP 2.0 ini,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin juga menasihati rakyat agar terus patuh kepada keputusan pihak kerajaan, disamping pihak berkuasa juga dipohon untuk terus menjaga kebajikan rakyat dengan sehabis baik.
Beliau berdoa semoga Malaysia terus diselamatkan dari serangan pandemik dan juga lainlain bencana buruk seperti banjir dan sebagainya.