September 26, 2023

COVID-19 : Setiausaha Agung PBB Kata, Sains Berjaya Tapi Solidariti Gagal

1 min read

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kecewa dengan kadar kematian yang tinggi yang disifatkan ‘memilukan’ akibat COVID-19 yang jumlahnya sudah melepasi angka dua juta orang di seluruh dunia.

Beliau berasa amat dukacita dan menyatakan ia sebagai satu kegagalan solidariti dalam tindak balas penduduk dunia terhadap virus itu.

Adakah ini benar? Manusia gagal memberikan tindakan balas yang betul sehingga menyebabkan bencana kematian begitu tinggi?

“Hari ini, kita melihat wujudnya lompang vaksin. Negara berpendapatan tinggi memperoleh vaksin dengan cepat, manakala yang paling miskin di dunia pula tiada bekalan langsung.

“Sains sedang berjaya tetapi solidariti sedang gagal,” kata Antonio.

Dengan tidak menyebut apa-apa nama, Antonio membidas tindakan sesetengah negara membuat perjanjian tambahan malah membeli melebihi bilangan vaksin yang diperlukan.

“Kerajaan ada tanggungjawab untuk melindungi penduduk mereka, namun ‘vaksinasionalisme’ menewaskan diri dan akan melambatkan pemulihan global.

“COVID-19 tidak boleh dikalahkan sebuah negara saja pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau menegaskan, keutamaan mesti diberikan kepada golongan di barisan hadapan meliputi personel kemanusiaan dan penduduk berisiko tinggi.

Sementara itu pada satu sidang media, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkir pula mengumumkan bahawa beliau dan Guterres akan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.

Guterres akan diberi suntikan itu, minggu depan, manakala Bozkir pada 2 Februari.

Bozkir berkata, ini kerana New York yang merupakan lokasi ibu pejabat PBB, menetapkan dasar kesihatan awam untuk memberi suntikan itu kepada golongan berusia lebih 65 tahun.

1 thought on “COVID-19 : Setiausaha Agung PBB Kata, Sains Berjaya Tapi Solidariti Gagal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *