Kedai Cermin Mata Dan Kedai Dobi Layan Diri Dibenarkan Beroperasi Ketika PKP

Kerajaan sudah memperhalusi bahawa ada keperluan untuk membuka kedai cermin mata dan dobi layan diri dalam kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dibuka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kebenaran operasi itu dibuat selepas mempertimbangkan keperluan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

BACA JUGA – KP Kesihatan Bimbang Situasi COVID-19 Sekarang!

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam prosedur pengoperasian standard (SOP) PKP, yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP mengingatkan kepada penggiat industri perdagangan dan pengedaran supaya sentiasa patuh pada SOP PKP di premis masing-masing.

Nanta berkata sekiranya pematuhan tersebut masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, KPDNHEP akan mengambil tindakan drastik termasuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

Kementerian berharap semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna, mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran, dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara, serta mengawal jangkitan COVID-19. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *