December 6, 2023

‘Pendaki Gunung’ Dan ‘Pelancong Gunung’ : Adakah Komuniti Yang Sama Atau Sebaliknya?

2 min read

Oleh Mohamad Khairi Alwi

Istilah ‘Pelancong Gunung’ sememangnya telah lama wujud sebagai satu lingo di dalam komunikasi umum melibatkan para pendaki gunung di Malaysia. Di sebalik keunikannya, istilah ‘Pelancong Gunung’ ini sering dikaitkan dengan imej yang agak negatif.

Ia dirujuk sebagai mewakili suatu komuniti pendaki yang mempunyai sifat yang agak bertentangan dengan ‘Pendaki Gunung’. ‘Pelancong Gunung’ juga secara amnya kerap dilabelkan dengan ungkapan-ungkapan tertentu seperti; lebih mementingkan keselesaan, tidak ‘padu’, kurang kesedaran terhadap aspek konservasi alam semulajadi, gemar dimanjai (pampered) dan tidak sepenuhnya menjiwai ciri-ciri pendaki gunung sejati.  

Namun demikian, tahukah kita bahawa penggunaan istilah ini sebenarnya TIDAK TEPAT?

Justifikasi utama dalam membincangkan aspek ini ialah dengan merujuk kepada maksud perkataan ‘pelancong’ itu sendiri berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992. Akta Industri Pelancongan 1992 atau juga dikenali sebagai Akta 482 adalah merupakan antara rujukan utama di kalangan pihak-pihak berkepentingan dan pemain-pemain industri pelancongan di Malaysia.

BACA JUGA – Apakah Maksud Sebenar Rekreasi?

Berdasarkan Akta ini, istilah PELANCONG didefinisikan seperti berikut:

“pelancong” ertinya mana-mana orang, sama ada dia ialah seorang warganegara Malaysia atau selainnya, yang melawat mana-mana tempat di dalam Malaysia untuk apa-apa maksud yang berikut, iaitu —

(a)  keseronokan, rekreasi atau percutian;

(b)  kebudayaan;

(c)  agama;

(d)  melawat kawan atau saudara-mara;

(e)  sukan;

(f)   perniagaan;

(g)  mesyuarat, persidangan, seminar atau konvensyen;

(h)  pengajian atau penyelidikan;

(i)  apa-apa maksud lain yang tidak berhubungan dengan suatu pekerjaan yang mendapat saraan daripada tempat dilawati itu;

(Akta Industri Pelancongan 1992, muka surat 8 dan 9)

Oleh yang demikian, keterangan di atas secara jelasnya menghadirkan justifikasi kukuh mengapa istilah ‘Pelancong Gunung’ itu adalah tidak tepat dari sudut konsep penggunaannya.

Dengan kata lain, sekiranya seseorang itu melakukan perjalanan/lawatan ke sesebuah lokasi pendakian gunung di Malaysia, samaada beliau ‘padu’ atau sebaliknya, gemar dimanjai ataupun sukakan cabaran, memiliki ciri-ciri pendaki gunung sejati ataupun tidak; individu tersebut juga adalah seorang PELANCONG.

Secara spesifiknya, seorang PELANCONG yang melakukan lawatan ke sesebuah destinasi untuk menjalankan aktiviti pendakian gunung (bertepatan dengan maksud/spesifikasi (a) di dalam definisi pelancong berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992 di atas).    

Sehubungan itu juga, sekiranya wujud keperluan untuk melabelkan komuniti pendaki gunung tertentu yang memiliki ciri bertentangan dengan perwatakan ideal seorang pendaki gunung sejati ini, istilah atau terma tertentu seperti contohnya; pendaki gunung kurang berpengalaman (inexperienced), adalah lebih relevan diaplikasikan dalam konteks ini berbanding penggunaan istilah ‘Pelancong Gunung’.

Mohamad Khairi Alwi

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan Rekreasi dan Pelancongan STHEM, Universiti Utara Malaysia dan beliau juga merupakan Head of Initiative Working Group of Adventure Tourism Frontier (IWGTAF).

3 thoughts on “‘Pendaki Gunung’ Dan ‘Pelancong Gunung’ : Adakah Komuniti Yang Sama Atau Sebaliknya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *