Peniaga Gunting Rambut Rayu Kerajaan Benarkan Mereka Beroperasi Ketika PKP
2 min read
Ketika suasana ekonomi dalam negara pulih seketika semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tahun lepas, perniagaan gunting rambut dan dandanan rambut merupakan antara perniagaan terakhir dibenarkan beroperasi semula.
Ia adalah kerana perniagaan tersebut sukar untuk dilaksanakan penjarakan fizikal memandangkan tukang gunting dan pelanggan berada sangat rapat ketika proses menggunting rambut sedang dijalankan.
Ketika ia dibenarkan beroperasi semula pada 10 Jun lepas, tidak ada kluster jangkitan COVID-19 baharu yang tercetus dari sektor perniagaan ini.
Untuk makluman, perniagaan gunting rambut menyumbangkan kira-kira RM13.5 bilion setahun.
BACA JUGA – Kenapa Kes Positif Covid-19 Meningkat?
Kini, para peniaga khidmat gunting rambut sekali berdepan ujian melibatkan kira-kira 16,728 premis berdaftar dengan 74,500 pekerja apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali bermula 13 Januari baru-baru ini.
Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto berkata, kira-kira 5,800 kedai gunting rambut dan salon rambut sudah gulung tikar ketika PKP pertama dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas.
Bimbang lebih banyak kedai gunting akan terpaksa menutup operasi, gabungan itu merayu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membenarkan perniagaan perkhidmatan itu beroperasi semula.
“Sebelum ini, kami berjaya beroperasi dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa dan tidak ada kluster muncul dari perkhidmatan kami.
“Kami yakin boleh mengekalkan perkara itu kali ini,” kata Bambang.
Antara SOP yang ditetapkan untuk perniagaan menggunting rambut ialah tukang gunting mesti memakai penghadang muka, pelitup muka dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta jumlah pelanggan di dalam premis dihadkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) Jeanette Tembakau turut bimbang industri spa akan berakhir jika mereka tidak dibenarkan beroperasi semula.
Sehingga hari ini, beliau menyatakan 60 buah spa sudah tutup kedai.