Kos Tinggi Jadi Punya Majikan Tak Hantar Pekerja Buat Saringan COVID-19

KOS terbukti menjadi kebimbangan utama bagi majikan untuk memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan memberitahu The Malaysian Insight buat masa ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hanya menyediakan kit ujian dan majikan perlu membayar kos perkhidmatan.

“Kosnya di antara RM30 hingga RM85 untuk satu ujian. Dan ujian saringan Covid-19 perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali.

“Terdapat juga kemungkinan ujian lanjut dalam tempoh masa yang berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight berikutan kes dalam kluster tempat kerja semakin meningkat.

Shamsuddin memberi jaminan majikan sedang melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan untuk pekerja asing di seluruh negara untuk menjalani ujian saringan wajib.

“Bukan majikan enggan hantar pekerja asing menjalankan ujian saringan Covid-19.

“Terdapat kekeliruan sama ada ujian Covid-19 benar-benar diberi subsidi oleh Perkeso kerana terdapat banyak kenyataan daripada pelbagai pihak yang majikan perlu menanggung kos berkenaan,” katanya dan menambah pihaknya sedang berhubung dengan Perkeso mengenai perkara itu.

Malangnya menurut beliau, MEF tidak mempunyai sebarang rekod jumlah majikan yang sudah menghantar pekerja asing mereka menjalani ujian saringan.

Perkeso mendedahkan setakat 27 Disember iaitu sebulan selepas pengumuman ujian saringan wajib ke atas pekerja asing, hanya 2,385 (4.3%) majikan menghanar pekerja mereka (68,460) untuk ujian saringan Covid-19.

Penguatkuasaan bermula pada 1 Januari di enam negeri berisiko: Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melibatkan 800,000 pekerja asing manakala negeri lain diberi masa sehingga akhir Februari.

Tempat kerja, sama ada syarikat swasta mahupun agensi kerajaan, dikesan menjadi punca utama oenularan Covid-19 di Malaysia.

Sejak 6 Januari, Malaysia merekodkan 225 kluster baharu berkaitan dengan tempat kerja, menyumbang kepada 64.3% daripada 350 kluster baharu.

Kementerian Kesihatan berkata jumlah tertinggi kluster tempat kerja adalah daripada syarikat berkaitan perkilangan (80 kluster), diikuti pembinaan (53) dan syarikat berkaitan perkhidmatan (31).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *