Pakar Beri Pendapat, Ujian Calitan Di Tekak Dan Hidung Sudah Memadai Untuk Kesan COVID-19
2 min read
Hari ini di media sosial, kecoh apabila netizen berbincang berkaitan ujian calitan di China yang dilakukan secara calitan di lubang dubur dan tidak lagi di dalam rongga hidung seperti kebiasaan.
Dalam laporan media luar negara, dikatakan ujian sebegitu akan memberikan keputusan ujian jangkitan COVID-19 yang lebih berkesan.
Netizen di Malaysia boleh menarik nafas lega apabila ada pakar perubatan di negara ini berkata calitan tekak dan di nasopharyngeal di saluran hidung sudah memadai untuk pengesanan virus COVID-19.
Pakar Virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.
Beliau berpendapat bahawa tidak perlu dilakukan ujian COVID-19 di najis, dubur atau rektum yang cuma akan menyebabkan rasa tidak selesa dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.
Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus.
BACA JUGA Qatar Jadi Pilihan Anjurkan Sukan Asia 2030
Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan.
Ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19. Bagaimanapun, prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.
“Ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan. Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum,” katanya dalam laporan eksklusif portal Berita Harian hari ini.
Beliau mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.
Memetik laporan media, seorang doktor kanan di Hospital You’an Beijing dipetik sebagai berkata kepada CCTV, teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.
Mengulas hal itu, Dr Yahya menegaskan pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara ‘infectivity’ (jangkitan) dengan ‘positivity’ (positif).
Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.
“Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan ‘infectiousness period’ (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada ‘viral load’ (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.
“Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan. Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada,” katanya.