Guna Jam Tangan Saja Untuk Urus Kebun Cili
2 min read
Hanya dengan melayari sistem kebun yang diselaraskan dengan teknologi Internet of Things (IoT) pada jam tangan pintar, pembajaan dan semburan racun kawalan serangga dapat diselesaikan dengan hanya satu klik.
Itulah senario bagi menggambarkan betapa mudah usahawan cili fertigasi, Norhashim Kamisan berupaya mengawal ladang miliknya di Telok Panglima Garang, dekat sini.
Menurut Norhashim yang juga Pengarah Urusan Pewaris Bumi Hijau Sdn. Bhd., sistem itu berupaya memudahkan operasi penanaman yang boleh dikendalikan dimana sahaja tanpa mengira waktu dan lokasi.
“Lebih menarik, kini sistem tersebut ditambah baik dengan dilengkapi kemudahan pengesanan suara di mana sistem itu boleh dikendalikan menerusi arahan suara.
“Ini bermakna, semua aktiviti pembajaan serta kawalan serangga boleh dijalankan semudah kata kunci ‘on pump’,” katanya ketika ditemui UtusanTV di sini baru-baru ini.
Tambah Norhashim yang merupakan peneraju kepada teknologi sistem fertigasi pintar itu, apa yang lebih penting sistem berkenaan bukan sahaja mampu menjimatkan kos tenaga kerja malah berupaya mengelakkan pembaziran baja dan racun.
“Ini kerana ia kaedah ini berupaya memastikan penggunaan baja dan racun kawalan serangga dapat dioptimumkan ke tahap paling efisien berbanding sistem fertigasi konvensional di mana sukatan baja dan racun perlu disukat dan dibancuh secara manual.
“Ia bermakna tiada pembaziran baja dan racun walaupun setitik. Semuanya telah disukat mengikut keperluan pokok sepertimana ditetapkan oleh pengusaha melalui sistem pintar ini,” ujarnya yang kini telah 14 tahun berkecimpung dalam perusahaan penanaman fertigasi.
Norhashim yang juga dinobatkan sebagai ikon pertanian kebangsaan dan negeri Selangor memberitahu, tujuan utama sistem tersebut dibangunkan adalah bagi memastikan ia dapat dikongsikan dengan usahawan tani lain.
“Ramai yang beranggapan pasti kosnya amat tinggi, sebab itu syarikat saya menjalankan beberapa fasa pembangunan sistem ini hasil kerjasama pihak Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memastikan ia dibina sehingga ke tahap mampu milik.
“Pada awalnya, memang harganya agak tinggi, namun kini kami telah berjaya meminimumkan kosnya supaya ramai petani lain dapat mengaplikasikan di kebun ataupun ladang masing-masing,”ujarnya.
Katanya, sudah tiba masanya petani lain untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan sekali gus memperkasakan industri pertanian negara ke tahap baharu.
“Secara umumnya, teknologi berkenaan bukan sahaja membolehkan petani mengamalkan pertanian yang efisien dan efektif malah pada masa sama meningkatkan produktiviti ke arah mengurangkan kebergantungan hasil import luar negara selari dengan harapan kerajaan,” jelasnya.
1 thought on “Guna Jam Tangan Saja Untuk Urus Kebun Cili”