Perth Dikenakan Perintah Sekatan Selepas Ada Satu Kes Jangkitan COVID-19
2 min read
Bandar Perth di Australia mengenakan perintah sekatan atau lockdown selama lima hari selepas ada satu jangkitan kes positif COVID-19 di sana melibatkan pengawal keselamatan sebuah hotel kuarantin.
Seramai kira-kira dua juta orang penduduk di Perth perlu duduk di rumah bermula petang tadi dan ia turut melibatkan mereka yang tinggal di Peel dan wilayah barat daya negara Kangaroo itu.
Sesi persekolahan di sana yang dijadualkan bermula esok ditangguhkan dan penduduk hanya dibenarkan keluar untuk bersenam, mendapatkan keperluan kesihatan dan mendapatkan keperluan seperti membeli makanan.
Perdana Menteri Australia Barat, Mark McGowan, berkata model mereka untuk berhadapan dengan kes COVID-19 adalah dengan cepat dan tegas.
MESTI BACA Guna Jam Tangan Saja Untuk Urus Kebun Cili
“Ia supaya kami boleh mengawalnya dengan cepat dan tidak menular masuk ke dalam komuniti seperti mana dihadapi negara lain.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah ‘gangguan’ jangka masa pendek bagi mengelakkan ‘gangguan’ jangka masa panjang.
“Kami berusaha menghancurkan virus ini secepat mungkin,” katanya memetik laporan portal berita Channel News Asia.
Pihak berkuasa percaya lelaki itu dijangkiti virus daripada pengembara yang dikuarantin di sebuah hotel di bandar ke-4 terbesar di Australia itu.
Pengembara itu mungkin terkena varian baharu virus itu yang dipercayai boleh menular dengan cepat berbanding strain COVID-19 sebelum ini.
Ujian genomik sedang dijalankan untuk menentukan sumber sebenar jangkitan lelaki itu, dan pegawai kesihatan mengatakan bahawa dia mungkin telah mengunjungi lebih dari sedozen lokasi ketika membawa virus itu.
Kafe, bar dan restoran sudah diperintahkan untuk tutup manakala lawatan ke kemudahan kesihatan dilarang dan majlis perkahwinan dibatalkan.
Sekatan ini adalah paling ketat sejak peringkat awal pandemik dengan pelitup muka diwajibkan untuk pertama kali.
Sepanjang tahun 2020, Australia Barat menutup sempadannya hampir sepanjang tahun dan memutuskan hubungan dengan negara lain namun membenarkan penduduknya menikmati kehidupan normal selama berbulan-bulan.
Perintah sekatan selama tiga minggu turut dilaksanakan di Brisbane selepas seorang pembersih hotel dijangkiti varian itu.