Kes Positif Harian COVID-19 Boleh Cecah 10,000 Kes Sehari Pada Bulan Depan

Pasti dalam minda kita tidak terfikir pun kes positif wabak COVID-19 akan pada satu hari nanti mencecah ke lima angka untuk kes harian. Walaubagaimanapun, ia mungkin akan berlaku pada bulan depan.

Kes baharu positif boleh mencecah angka 10,000 kes pada minggu kedua bulan depan jika mengikut unjuran kadar kebolehjangkitan COVID-1 9 atau R0 1.15 berdasarkan kes seharian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu pertama Mac nanti, jumlah kes positif dijangka mencecah 8,000 kes.

Beliau berkata, jangkaan itu juga berdasarkan kumulatif harian kes yang dicatatkan melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut, hujung bulan lalu.

Noor Hisham berkata, kes positif semalam turun ke 3,455 kes dengan merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 21 kes sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Bagaimanapun, kes sembuh Covid-19 negara iaitu 3,661 kes melebihi kes positif menjadikan keseluruhan kes sembuh meningkat sebanyak 173,990 kes manakala kes positif negara pula, sebanyak 222,628 kes.

Katanya, terdapat 327 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 145 kes memerlukan bantuan pernafasan dan tujuh kluster serta Selangor menjadi negeri tunggal mencatatkan kes melebihi 1,000 kes iaitu 1,145 kes.

“Johor pula menjadi negeri kedua kes tertinggi iaitu 708 kes; Kuala Lumpur, 619 kes; Sabah, 276 kes; Sarawak, 121 kes; Terengganu, 115 kes; Pulau Pinang, 85 kes; Perak, 84 kes; Negeri Sembilan 79 kes; Pahang, 63 kes; Melaka, 62 kes; Kedah, 59 kes; Kelantan, 31 kes; manakala Putrajaya, enam kes serta Labuan dan Perlis, masing-masing satu kes.

“Kes kematian melibatkan 12 kes di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Kuala Lumpur dan satu kes di Kedah yang mana sebanyak 20 kes melibatkan warga tempatan dan satu warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA – Video Ulama Meninggal Dunia Selepas Ucap ‘Lailahaillallah’ Ketika Ceramah

Mengulas mengenai 21 kematian, Noor Hisham berkata, semua pesakit membabitkan sebanyak 13 lelaki dan lapan wanita termasuk satu warga asing yang berusia antara 36 tahun hingga 83 tahun.

“Hanya seorang tidak mempunyai penyakit manakala 20 pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, dislipidemia, jantung, obesiti, strok dan kanser hati,” katanya.

Mengenai tujuh kluster baharu, beliau berkata, enam membabitkan kluster berkaitan tempat kerja manakala satu lagi kluster berkaitan komuniti.

Katanya, enam Kluster berkaitan tempat kerja iaitu dua di Selangor, Kluster Jalan Ragum melibatkan Klang dan Petaling, seramai 542 individu disaring yang mana 219 kes positif dan Kluster Bukit Rahman melibatkan Kuala Selangor, Petaling, dan Gombak, seramai 2,800 individu disaring, yang mana 48 kes positif.

“Kluster Parit Jamil Darat di Muar, Johor, seramai 189 individu disaring yang mana 26 kes, Kluster Tapak Bina Jalan Cheras di Cheras, Kuala Lumpur, sebanyak 332 kes dari 823 individu yang disaring.

“Kluster Taman Muhibbah melibatkan Temerloh dan Kuantan, Pahang, seramai 47 individu disaring yang mana 14 kes positif dan Kluster Industri Serkam melibatkan Jasin dan Melaka Tengah, Melaka, seramai 1,700 individu disaring, yang mana 69 kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, kluster berkaitan komuniti iaitu Kluster Semarak Bersia di Hulu Perak, Perak, seramai 58 individu disaring yang mana 19 kes dikesan positif. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *