Datuk Jamali Shadat Meninggal Dunia
1 min read
Artis komedi Malaysia yang terkenal dengan suara watak kanak-kanak Atan, Datuk Jamali Shadat meninggal dunia hari ini ketika berusia 78 tahun pada pukul 8.30 pagi tadi.
Berita kehilangan bintang komedi itu disampaikan oleh anak bongsunya, Sazli Jamali.
“Bapa sudah tiada. Saya diberitahu arwah bapa menghembuskan nafas terakhirnya di atas katil.
“Insya-Allah, urusan pengebumian akan dipercepatkan. Berkemungkinan selepas Zohor atau Asar hari ini.
“Arwah bapa akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah,” katanya menurut laporan portal BH Online.
Allahyarham yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang itu mula uzur selepas isterinya Allahyarhamah Lela Yacon meninggal dunia kerana serangan angin ahmar pada 2018.
BACA JUGA – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi No 7 Terbaik Daripada 43,983 Lapangan Terbang Seluruh Dunia
Allahyarham ketika itu bagaikan hilang semangat, banyak berdiam dan terpaksa bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri serta kurang selera makan.
Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda ini cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.
Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.
Beliau turut pernah menyertai satu pertandingan yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu pertandingan Bakat TV.