Raja Thailand Paling Kaya Di Dunia!

Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn menduduki tempat pertama dalam senarai lima kerabat diraja paling kaya di dunia, dengan nilai kekayaan lebih AS$43 bilion (RM174.10 bilion).

Ratu England, Ratu Elizabeth II tidak berada dalam senarai tersebut malah lima kerabat diraja yang disenaraikan itu dilaporkan jauh lebih kaya dan berasal dari negara Afrika dan Asia.

Lapor Daily Star, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh Raja Maha Vajiralongkorn adalah lebih 100 kali ganda berbanding Ratu Elizabeth yang dianggarkan sebanyak 350 juta Pound (RM1.93 bilion).

Raja Asia Tenggara yang dikenali sebagai Rama X turut mempunyai 38 pesawat jet dan helikopter.

Menurut laporan Fortune, sebahagian besar kekayaan Raja Maha Vajiralongkorn adalah daripada 23 peratus pegangan saham di Bank Komersial Siam dan Kumpulan Siam Cement.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berada pada senarai kedua dengan mengekalkan jumlah kekayaan sebanyak AS$28 bilion (RM113.37 bilion) yang kebanyakan adalah hasil daripada industri minyak dan gas.

Sultan Hassanal terkenal dengan perbelanjaan mewah dan dilaporkan mempunyai 5,000 kenderaan termasuk ratusan buah kereta Rolls-Royce.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al Saud menduduki tempat ketiga dalam senarai tersebut dengan memiliki kekayaan yang bernilai AS$18 bilion (RM72.88 bilion).

Sumber kekayaan Raja Salman adalah melalui perniagaan keluarga yang dianggarkan bernilai AS$1.4 trilion (RM5.5 trilion) yang merangkumi syarikat gergasi minyak, Saudi Aramco.

Emir Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan berada di tempat keempat dengan kekayaan dianggarkan bernilai AS$15 bilion (RM60.73 bilion).

Sebahagian besar kekayaan Sheikh Khalifa adalah daripada pengurusan rizab minyak berlebihan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Panama Paper mendakwa beliau memiliki banyak harta tanah mewah di London yang bernilai lebih AS$ 1.7 bilion (RM6.8 bilion).

Raja Maghribi, Raja Mohammed VI menduduki tempat kelima kerabat diraja paling kaya di dunia yang dikatakan memiliki kekayaan bernilai antara AS$2 bilion dan AS$8 bilion (RM8.09 bilion dan RM32.39 bilion).

Raja Mohammed VI mewarisi 35 peratus kepentingan dalam syarikat Société Nationale d’Investissement (SNI) daripada mendiang ayahnya, Raja Hassan.

One thought on “Raja Thailand Paling Kaya Di Dunia!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *