Wuhan Memperingati Dr Li Wenliang

SETAHUN selepas meninggal dunia, penduduk di bandar Wuhan memperingati pemergian Dr Li Wenliang yang terkorban akibat COVID-19 pada 7 Februari 2020.


Dr Li, Pakar Oftalmologi, merupakan individu terawal mendedahkan mengenai virus COVID-19 sebagai ancaman awam.


Kematian doktor berusia 34 tahun itu menyebabkan penduduk di Wuhan melakukan upacara berkabung sebagai tanda menghargai jasanya. Mereka sekali lagi berkabung sempena genap setahun kematian beliau.


Mendiang sebelum ini didakwa menyebarkan khabar angin sehingga dipanggil oleh pihak pengurusan hospital dan dihantar ke balai polis bagi tujuan siasatan. Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.


Mengimbas kisah itu, pada 30 Disember 2019, Dr Li memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian wabak penyakit di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.


Beliau menasihati rakan-rakannya supaya memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin mesej yang dihantarnya menjadi tular.


Dr Li kemudian meninggal dunia apabila disahkan positif COVID-19 selepas diijangkiti salah seorang pesakitnya.



Tiada bukti kukuh COVID-19 berasal dari makmal Wuhan – WHO


Sementara itu, perkembangan terkini menyaksikan pasukan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sangsi terhadap khabar angin mengenai Institut Virologi Wuhan (WIV) dikatakan sebagai tempat asal usul virus COVID-19.


Sebaliknya, pasukan tersebut yakin dengan tahap keselamatan di kawasan itu dan memberikan penilaian yang positif terhadap cara pengurusan serta pengendalian makmal di institut berkenaan.


Pasukan pakar WHO berada di China bagi menyiasat asal-usul pandemik COVID-19 dan telah melawat WIV serta makmal institut tersebut di Wuhan, Wilayah Hubei pada Rabu lalu.


Pakar Epidemiologi Institut Pasteur St Petersburg, Rusia, Dr Vladmir Dedkov mendapati makmal berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan berpiawaian tinggi dan pihaknya sangsi bagaimana virus boleh disebarkan dari kawasan tersebut.


Seorang lagi pakar, Peter Daszak, yang telah mengumpul pelbagai maklumat mengenai makmal itu mengesahkan banyak pencapaian sains dan penyelidikan berjaya dihasilkan di makmal tersebut.


Mengulas mengenai Pasar Basah Huanan pula, Dr Vladmir Dedkov mengesahkan tiada bukti menunjukkan penularan wabak berpunca dari pasar itu.


Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang media pada hari yang sama memaklumkan bahawa perbincangan antara pasukan Pakar WHO dengan petugas China membuahkan hasil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *