September 27, 2023

UDA Holdings Hadiahkan 300 Penduduk Rumah Baru Secara Percuma

2 min read

Seramai 300 orang penduduk sekitar kawasan Tanjung Tokong di Pulau Pinang hari ini menarik nafas lega dan bersyukur kerana hajat mereka memiliki rumah sendiri tercapai.

Mereka yang sebelum ini terpaksa hidup dalam keadaan daif di kawasan rumah panjang yang tidak selamat, kotor dan tidak selesa, akhirnya menerima kunci rumah baharu dari Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Datuk Sri Dr Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar pada hari ini telah memberi kunci rumah baharu kepada 300 penduduk di situ sebagai salah satu program CSR oleh UDA Holdings Bhd (UDA).

Menariknya, mereka yang terlibat akan menerima lot-lot rumah masing-masing secara percuma yang dibina khas oleh UDA.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, ini merupakan salah satu tindakan proaktif yang diambil syarikat berkaitan kerajaan itu dalam memastikan penduduk sekitar tidak ketinggalan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi) kerana sudi melakukan ‘walkabout’ di Pulau Pinang hari ini.

“YB Menteri turun ke Pulau Pinang untuk melawat dan memberi sedikit bantuan kepada penduduk di Tanjung Tokong yang bakal berpindah ke pangsapuri baru, dibina oleh UDA Holdings Bhd.

“Sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR), UDA Holdings Bhd. telah menyediakan rumah percuma kepada 300 penduduk kawasan ini untuk didiami,” katanya di akaun Facebook Jalaluddin Alias petang Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan memaklumkan, 300 penduduk yang menerima rumah baharu percuma dari UDA itu adalah mereka yang berketurunan Bumiputera.

“Mereka ini dari kalangan Bumiputera yang menetap di kawasan rumah panjang yang cukup daif. Mereka benar-benar mengharapkan pertolongan pihak kerajaan pusat.

“Justeru YB Menteri dan UDA Holdings Bhd mengambil langkah proaktif dalam membela nasib 300 penduduk tersebut,” katanya lagi.

UDA merupakan salah satu syarikat gergasi yang kerap melakukan CSR di negara ini. Sebelum ini, UDA telah memperkenalkan program bantuan kembali ke sekolah dan memberi moratorium khas kepada para peniaga yang menyewa di premis milik UDA sempena pandemik COVID-19 ini. – Sepatah Dua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *