Rentas Daerah, Negeri, Abai Jarak Fizikal Dan Tak Pakai Pelitup Muka Jadi Kesalahan Tertinggi PKP
2 min read
Perbuatan merentas daerah dan negeri, mengabaikan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka terus menjadi kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia dapat dilihat apabila 203 kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran, 167 kesalahan mengabaikan penjarakan fizikal (167) serta 117 kes tidak memakai pelitup muka direkodkan semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia disusuli kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah (84 kes) dan gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (57).
Katanya, ia termasuk 22 kesalahan membawa penumpang berlebihan, premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (12) serta aktiviti di pusat hiburan (lapan kes).
“Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 759 individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan 715 dikompaun dan 44 direman kerana melakukan kesalahan terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ismail Sabri turut berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga membuat sebanyak 64,379 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.
Katanya, sebanyak 3,009 pasukan pematuhan membabitkan 13,910 anggota membuat pemantauan di 6,108 restoran; pasar raya (4,008); bank (3,814); penjaja (2,706); kilang (1,649) dan pejabat kerajaan (752).
“Turut dipantau 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71),” katanya.
Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap, manakala empat kenderaan darat serta sebuah bot dirampas.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa mengesan 110 bot dan kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.
“Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut menjalankan 531 sekatan jalan raya semalam,” katanya.
Beliau berkata, seramai 623 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa kelmarin menjalani perintah kuarantin wajib dan ditempatkan di stesen kuarantin seluruh negara.
“Sejak 24 Julai 2020, seramai 120,500 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 73 hotel, 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara,” katanya.
Kata beliau lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 696 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 513 peruncit, 152 pemborong dan 31 pengilang.
“KPDNHEP juga melakukan 1,825 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 6,118 warga asing menjalani ujian saringan semalam dan dua didapati positif COVID-19.
Katanya, secara kumulatif 368,185 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 membabitkan 16,758 majikan.
“Daripada jumlah pekerja itu, 7,198 disahkan positif, manakala 360,987 negatif,” katanya.
2 thoughts on “Rentas Daerah, Negeri, Abai Jarak Fizikal Dan Tak Pakai Pelitup Muka Jadi Kesalahan Tertinggi PKP”