Ebola Kembali Selepas Lima Tahun, Ragut Empat Nyawa Di Guinea

Menteri Kesihatan negara Guinea, Remy Lamah menyatakan semalam seramai empat orang meninggal dunia kerana penyakit Ebola yang tercetus semula di negara berkenaan buat kali pertama selepas lima tahun.

Memetik laporan agensi berita AFP, pihak berkuasa bimbang melihat angka kematian itu. Ia adalah kali pertama penyakit itu melanda semula selepas ia pernah menular dari 2013 hingga 2016 yang meragut 11,300 nyawa.

Sementara itu, Ketua Agensi Keselamatan Kesihatan Nasional Guinea, Sakoba Keita, berkata mangsa terbaru penyakit berkenaan di Guinea meliputi seorang jururawat yang jatuh sakit pada akhir bulan lalu.

“Mayatnya dikebumikan pada 1 Februari lalu. Lapan daripada mereka yang terbabit dalam pengebumian itu telah mengalami gejala cirit-birit, muntah dan pendarahan.

“Tiga daripada mereka kemudian meninggal dunia, manakala empat lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya kepada media tempatan.

Keita berkata, empat kematian akibat demam berdarah Ebola itu berlaku di Nzerekore.

Katanya, seorang lagi pesakit ‘terlepas’ tetapi sudah ditemui dan dimasukkan ke hospital di Conakry.

Beliau mengesahkan komen berkenaan kepada AFP tanpa memberikan butiran lanjut.

BACA JUGA – Raja Thailand Paling Kaya Di Dunia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memantau ketat setiap penularan baharu wabak itu sejak 2016.

Malah, WHO mengisytiharkan penularan terbaru dilaporkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo) sebelum ini sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.

DR Congo telah beberapa kali dilanda Ebola yang menyaksikan WHO pada Khamis lalu mengesahkan wabak berkenaan muncul sekali lagi, iaitu tiga bulan selepas pihak berkuasa mengisytiharkan penularan sebelum itu tamat.

Terdahulu, negara itu mengisytiharkan epidemik selama enam bulan tamat pada November lalu. Ia adalah kali ke-11 negara berkenaan dilanda wabak Ebola yang mencatatkan 130 kes, termasuk 55 kematian.

Pelaksanaan program vaksinasi secara meluas yang membabitkan lebih 40,000 orang, berjaya membantu mengekang penularan wabak itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *