Bursa Malaysia Makin Positif, Cecah Paras 1,600

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan pagi Isnin, mencecah paras 1,600 setelah saham Wall Street melonjak pada Jumaat lalu dengan Indeks Komposit S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan rekod ketika penutupan urus niaga.

Pada pukul 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.14 mata kepada 1,611.56 daripada 1,599.42 ketika ditutup Khamis lalu.

Pada pembukaan, indeks dibuka 7.58 mata lebih tinggi pada 1,607.00.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 453 berbalas 174 manakala 366 kaunter tidak berubah, 1,168 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumaat lalu, indeks S&P 500 mengukuh 0.47 peratus, Dow Jones meningkat 0.09 peratus dan Nasdaq lebih tinggi sebanyak 0.5 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, Public Investment Bank berkata pelabur mempertimbangkan prospek akan peningkatan rangsangan fiskal serta kemungkinan kadar inflasi yang lebih tinggi.

“Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen pada Jumaat memberitahu menteri kewangan dan gabenor bank pusat dari negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) agar menyokong sepenuhnya pelan fiskal bagi meningkatkan pemulihan ekonomi yang berkekalan,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.02, PChem meningkat 11 sen kepada RM7.61, TM lebih tinggi 16 sen kepada RM6.76, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM10.16 dan Axiata mengukuh lima sen kepada RM3.48.

Saham paling cergas, Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 45.5 sen, Techna-X meningkat 1.5 sen kepada 15 sen, Luster Industries dan Velesto masing-masing menambah setengah sen kepada 23 sen dan 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 84.75 mata kepada 11,746.57, Indeks FBMT 100 mengembang 79.93 mata kepada 11,459.97 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 103.69 mata pada 13,223.94.

FBM 70 lebih tinggi 82.46 mata kepada 15,354.11 dan FBM ACE meningkat 13.00 mata kepada 10,896.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.37 mata kepada 15,112.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.4 mata kepada 181.97 dan Indeks Perladangan mengembang 43.64 mata kepada 7,189.33.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *