December 9, 2023

Guru Yang Sukarela Bersihkan Sungai Balun Terkejut Diberikan Warkah Penghargaan Oleh Sultan Perak

2 min read

 

Guru Sekolah Kebangsaan FELDA Besout 1 di Slim River, Perak, Ismail Mohd Zin, 40 tahun berasa terkejut apabila menerima Warkah Penghrgaan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas usaha beliau membersihkan Sungai Balun.

Menurut berita portal Berita Harian, beliau menjunjung kasih atas pemberian warkah oleh baginda.

Beliau berasa amat berdebar-debar apabila dihubungi pihak Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam tetapi berasa lega selepas diberitahu ia sebenarnya bertujuan untuk pemberian warkah berkenaan.

“Saya memang tidak menyangka usaha kecil saya membersihkan sungai itu akan mendapat perhatian pihak istana serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sehingga tidak dapat tidur kerana memikirkannya.

“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai masyarakat prihatin terhadap alam sekitar, terutama sungai yang merupakan sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.

Ismail berkata, beliau berharap kerja sukarela itu tidak disalah anggap pihak tertentu, kerana dirinya ikhlas membantu usaha memulihara kelestarian sungai.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi motivasi untuk saya meneruskan kerja sukarela, terutama membabitkan alam sekitar.

“Inilah kenangan terindah dalam hidup saya dan tidak akan dilupakan. Saya juga berharap kerja sukarela ini akan menjadi contoh kepada pelajar,” katanya.

Sultan Nazrin bertitah usaha guru berkenaan membersihkan Sungai Balin daripada sampah yang terperangkap dapat menghindar masalah banjir.

Selain itu, baginda bertitah usaha Ismail juga dapat memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.

BACA JUGA – COVID-19 : Setiausaha Agung PBB Kata, Sains Berjaya Tapi Solidariti Gagal

“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan,” titah Sultan Nazrin di dalam warkah berkenaan.

Sultan Perak bertitah sebagai seorang guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya sikap beliau dicontohi oleh warga pendidik serta para pelajar di negara ini.

“Semoga Allah menerima usaha murni ini yang dilakukan sebagai amal makruf yang dilimpahi dengan ganjaran dunia dan akhirat,” titah Sultan Nazrin.

Pada 14 Februari lepas, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kisah Ismail yang sanggup bergelumang lumpur, selut dan lintah seorang diri demi membersihkan sampah yang terperangkap di dalam Sungai Balun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *