December 6, 2023

Kita Akan Mula Terima Vaksin COVID-19 Ahad Ini Dan Program Imunisasi Akan Bermula 26 Februari

1 min read

 

Negara kita akan menerima kumpulan vaksin Pfize-BioNTech pada Ahad ini, demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, setibanya vaksin, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Februari nanti.

“Fasa pertama akan membabitkan saya sendiri bersama petugas barisan hadapan bermula hari berkenaan sehingga April.

“Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan,” katanya ketika berucap melancarkan buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam.

Katanya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

“Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022,” katanya.

Beliau berkata, program imunisasi menyeluruh untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.

“Vaksinasi penting untuk kita melindungi bukan saja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *