Polis Tahan Lelaki Yang Cium Budak Lelaki Dalam Video Tik Tok
1 min read
Polis telah menahan seorang lelaki yang juga pengasas produk kecantikan di ibu negara semalam berikutan dakwaan lelaki itu dilihat mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki yang tular di media sosial.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata lelaki berkenaan masih berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.
“Kita buka kertas siasatan selepas terima satu laporan daripada orang awam berkaitan isu itu.
“Lelaki berkenaan ditahan semalam dan polis dalam proses untuk rakam keterangannya untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, tersebar video seorang lelaki mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki dalam aplikasi Tik Tok.
Difahamkan ada lagi beberapa video yang dimuatnaik oleh suspek berkenaan melakukan perbuatan sama melalui akaunnya itu. Dikatakan akaun aplikasi berkenaan milik lelaki itu sudah pun dinyahaktif.
Netizen menyelar tindakan lelaki itu yang mencium bibir remaja berkenaan dan menyifatkan lelaki itu melakukan perbuatan keji seperti sexual grooming
Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyahaktif.