21 Februari Catat Sejarah Baru Untuk Malaysia Lawan Covid-19, Kata Jalaluddin
1 min read
“Hari ini sekali lagi negara cipta sejarah apabila vaksin dari keluaran Pfizer-BioNTech tiba ke negara kita. Ia diterbangkan menggunakan penerbangan MH604 yang dikendali MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari Belgium ke KLIA,” tulis Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam hantaran facebooknya hari ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi UDA Holdings Berhad menzahirkan rasa gembira atas kejayaan pihak kerajaan membekalkan vaksin ke dalam negara ini.
Melalui Program Vaksinisasi Kebangsaan, kerajaan mensasarkan lebih 70 peratus dari populasi di Malaysia berjaya memperoleh vaksin Covid-19.
“Vaksin ini untuk kita capai 70 peratus imunisasi kelompok daripada keseluruhan penduduk Malaysia, dengan 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar kita,” tambahnya lagi.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memaklumkan kerajaan ingin membentuk sebuah imunisasi kelompok dalam negara ini agar virus Covid-19 dapat diatasi menjelang tahun 2022 nanti.
“Apabila imunisasi kelompok terbentuk, kehidupan kita akan makin bebas dan saya yakin SOP akan dilonggarkan.
“Sektror ekonomi khususnya dapat lebih ‘kebebasan’ untuk menjana pendapatan dengan lebih baik. Ini juga akan menambah peluang pekerjaan kepada lebih ramai penduduk kita,” katanya.
Jalaluddin turut menasihati orang ramai agar tidak takut kepada tahap keberkesanan dan status halal vaksin kerana ia telah difatwakan harus dan wajib.
“Bagi mereka yang masih was-was untuk mengambil vaksin Covid-19 ini, saya nasihatkan kita mendengar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah putuskan ia adalah harus dan wajib diambil,” tambahnya. – SepatahDua