DHL Express Jamin Vaksin Covid-19 Dihantar Dengan Baik Ke Destinasi
2 min read
Syarikat penyedia perkhidmatan ekspres, DHL Express memastikan penghantaran vaksin COVID-19 ke seluruh negara mengikut prosedur yang betul bagi menjamin kualiti dan keselamatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express Asia Pasifik, Ken Lee berkata pihaknya bangga menjadi sebahagian daripada kumpulan menguruskan penghantaran vaksin COVID-19, yang begitu diperlukan dunia bagi mengekang penularan pandemik ini.
“Kami bangga mendapat peluang untuk melakukan ini dan saya boleh meyakinkan anda bahawa tidak ada yang diketepikan dalam usaha memastikan DHL Medical Express kami dapat memenuhi keperluan penghantaran, kualiti, keselamatan dan kebolehpercayaan ketika membawa barang yang berharga ini menerusi kargo,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dalam tempoh setahun lalu, syarikatnya sudah memulakan usaha bersama di seluruh dunia untuk memastikan penghantaran peralatan pelindung diri, keperluan perubatan dan harian kepada masyarakat yang memerlukan.
Penghantaran vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech perlu rantaian suhu sejuk beku rapi
MASkargo kongsi kisah penerbangan kumpulan pertama vaksin COVID-19
WHO beri pengesahan kecemasan kepada vaksin Pfizer-BioNTech
“Kami menghubungkan semua orang dan meningkatkan kualiti hidup dengan penyampaian vaksin COVID-19 ke mana-mana negara termasuk yang pertama, penghantaran ke Asia Barat dan sekarang ke Malaysia,” katanya.
DHL Express sebelum ini dilantik sebagai ejen untuk pengedaran vaksin Pfizer BioNTech di peringkat global.
Perjalanan vaksin Pfizer-BioNTech ke Malaysia yang tiba pagi tadi, dari kilang Pfizer di Belgium diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.
Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo pula berkata, urusan penghantaran vaksin dalam tempoh yang singkat amat kompleks untuk dilakukan.
“Sejak bermulanya wabak ini, DHL Express sudah memanfaatkan pengalaman dan kepakaran luas kami untuk membantu mengekalkan integriti rantaian bekalan penjagaan kesihatan, memastikan bekalan penting dan kelengkapan perlindungan sampai kepada masyarakat dan pasukan perubatan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, DHL Express dalam kenyataan sama menjelaskan salah satu cabaran utama dihadapi dalam penghantaran vaksin COVID-19 adalah menjamin suhunya berada pada bacaan rendah dan perlu dihantar menggunakan peralatan pembungkusan yang direka khas.
Katanya, bagi memenuhi keperluan vaksin global dalam tempoh dua tahun ini, syarikat itu menjangkakan penggunaan 200,000 pembungkus palet, 15 juta kotak penyejuk serta 15,000 penerbangan bagi menyempurnakan rantaian penghantaran vaksin di seluruh dunia.