Juruterbang Ada Rasa Bimbang Dan Takut Ketika Terbangkan Kumpulan Pertama Vaksin Ke Malaysia

 

Ketika melaksanakan misi membawa bahan muatan iaitu kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech ke Malaysia, dalam hati juruterbang yang terpilih tetap ada rasa takut dan bimbang.

Juruterbang berkenaan, Kapten Hamdan Che Ismail, menerbangkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH604 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Bagi dirinya, walaupun penerbangan berkenaan tidak begitu berbeza seperti penerbangannya yang lain, beliau yang berusia 49 tahun mengakui ada rasa gentar kerana dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan aset berharga berkenaan untuk negara.

Mana tidaknya, beliau seolah-olah membawa harapan seluruh rakyat Malaysia dalam penerbangan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo), dan jika ada perkara tidak diingini berlaku, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pastinya akan tergendala.

Namun, berbekalkan perancangan rapi serta doa, Hamdan bersama anak kapalnya berjaya memastikan 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura sekitar pukul 10 pagi tadi.

Pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin COVID-19 selamat tiba di Malaysia pagi tadi – Foto Facebook Malaysia Airlines.

“Dari segi persiapan, tidak banyak yang berbeza berbanding rutin penerbangan yang lain, cuma agak berdebar kali ini bila tahu aset dibawa adalah vaksin yang dinantikan semua rakyat Malaysia.

“Saya beritahu pada pembantu juruterbang dan semua anak kapal untuk jalankan tugas seperti biasa, namun pada masa sama bersedia dengan apa jua kemungkinan kerana jika ada apa-apa yang terjadi, saya dan kita semua bertanggungjawab.

“Memang ada sedikit rasa takut jika ada kerosakan atau apa-apa berlaku pada vaksin yang dibawa, namun kami yakin dengan segala perancangan rapi yang sudah dilakukan,” katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech itu dibawa dari kilang di Puurs, Belgium dan dibawa menaiki pesawat dari Brussels, sebelum transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman dan meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Hamdan yang berasal dari Tumpat, Kelantan, bertolak seawal jam 6 pagi menuju ke Singapura untuk mendapatkan vaksin itu, sebelum berlepas pulang ke Malaysia bersama aset berkenaan pada jam 9 pagi.

Baca Juga РRentas Daerah, Negeri, Abai Jarak Fizikal Dan Tidak Pakai Pelitup Muka Jadi Kesalahan Tertinggi PKP 

Beliau yang memiliki pengalaman selama 29 tahun bersama MAS berkata, antara persediaan dan cabaran dihadapi adalah memastikan suhu vaksin itu, kerana ia perlu dikekalkan pada suhu sejuk beku.

Memandangkan vaksin COVID-19 amat berharga ketika ini, katanya, kemungkinan unsur jenayah berlaku turut dibincangkan ketika proses persediaan.

“Namun, jaminan pihak berkuasa dan keselamatan bahawa keselamatan aset untuk sampai ke Malaysia pada waktu yang dijadualkan menjadi keutamaan, memberi keyakinan kepada kami,” katanya.

Mengakui terharu ketika menerima arahan untuk menerbangkan vaksin itu ke Malaysia, Hamdan serta anak kapalnya berbangga kerana diberi peluang untuk menggalas tugas besar itu.

“Kami berbangga kerana dapat berbakti kepada rakyat Malaysia dan memastikan vaksin COVID-19 ini sampai dengan selamat.

“Harapan kami semoga bekalan pertama vaksin ini menjadi titik permulaan kepada pemulihan pantas Malaysia daripada krisis COVID-19 dan kita dapat kembali menjalani rutin harian seperti biasa,” katanya, memaklumkan MASkargo bersedia melakukan penghantaran vaksin akan datang.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *