Kripto Bitcoin Akibatkan TNB Rugi RM200,000

 

Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan melombong mata wang kripto bitcoin yang mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian RM 200,000 di dua lokasi di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kegiatan di empat premis rumah kedai iaitu tiga di Pekan Sabak Bernam dan satu di Pekan Sungai Besar itu dikesan selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dengan kerjasama TNB menyerbu premis berkenaan bermula 5 petang semalam.

Agus Salim berkata, semakan mendapati TNB mengalami kerugian RM50,000 sebulan bagi setiap premis terbabit yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Kegiatan kali pertama itu dikesan di daerah ini dengan modus operandi menyewa premis bangunan tingkat dua atau tiga sebelum menyambung arus elektrik secara haram.

“Bagaimanapun, ia terbongkar selepas TNB mengesan penggunaan elektrik yang tinggi di keempat-empat premis terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan tiada sesiapa di dalam premis dan TNB terpaksa memecahkan kunci pintu premis berkenaan,” katanya ketika Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 420 unit mesin yang masih beroperasi di empat premis rumah kedai terbabit.

“Di Pekan Sabak Bernam, kita merampas sebanyak 135 mesin bitcoin dalam serbuan pertama, manakala serbuan kedua dan ketiga pula masing-masing membabitkan 105 dan 60 mesin bitcoin.

“Serbuan terakhir di Pekan Sungai Besar membabitkan 120 mesin bitcoin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan tersebut.

“Kita hendak mengenal pasti pemilik premis terbabit sama ada mereka menjalankan kegiatan tersebut atau premis itu disewakan kepada pihak lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 KK,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *