September 28, 2023

Fakta : Johor Paling Ramai Tok Imam, Perak Paling Ramai Bilal Dan Noja

2 min read

MERIAH… Johor mengekalkan kedudukannya sebagai negeri yang paling ramai bilangan imam masjid di negara ini sepanjang tahun lalu dengan keseluruhannya berjumlah 1,781 orang.

Angka itu meliputi 1,382 orang menerima imbuhan dan baki 399 lagi tiada imbuhan. Jumlah tersebut didapati meningkat sedikit berbanding tahun 2019 yang merekodkan 1,775 orang.

Menurut perangkaan diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pada tahun itu, seramai 1,377 orang imam menerima imbuhan manakala selebihnya 398 lagi tiada imbuhan.

Secara keseluruhan, agensi itu melaporkan terdapat 12,077 orang imam di seluruh negara dengan 9,924 individu menerima imbuhan dan hanya 2,153 individu pula yang tiada imbuhan.

Statistik itu menunjukkan pengurangan berbanding 2019 apabila Jakim mencatatkan 12,169 imam membabitkan 10,068 individu menerima imbuhan dan 2,101 lagi tidak menerimanya.

Agensi hal ehwal Islam nasional itu bagaimanapun tidak menyatakan punca kemerosotan imam sama ada meninggal dunia, meletak jawatan, dibuang kerja atau bertukar kerjaya lain.

Sementara itu, Sabah berada di tempat kedua paling ramai imam di Malaysia pada tahun lalu dengan sejumlah 1,631 orang diikuti Kedah (1,303), Perak (1,295) dan Terengganu (991).

Kelantan (941), Pahang (912), Selangor (770), Sarawak (615), Negeri Sembilan (585), Pulau Pinang (415), Melaka (374), Kuala Lumpur (219), Perlis (193), Labuan (37) dan Putrajaya (15).

Dalam pada itu, Jakim mengesahkan Perak terus kekal sebagai negeri yang paling ramai bilal dan noja masjid di Malaysia pada tahun lepas dengan keseluruhannya berjumlah 2,630 orang.

Data merangkumi 1,526 bilal dan 1,104 noja. Bagaimanapun, ia menunjukkan kemerosotan berbanding pada 2019 lalu apabila mencatatkan 2,730 orang iaitu 1,591 bilal dan 1,139 noja.

Secara keseluruhan, rekod agensi berkenaan pada 2020 menunjukkan terdapat sejumlah 13,318 orang bukan imam masjid di negara ini masing-masingnya 6,798 bilal dan 6,520 noja.

Angka tersebut jelas Jakim, agak turun sedikit daripada tahun sebelumnya iaitu 13,493 orang bukan imam di seluruh negara yang pecahannya itu merangkumi 6,912 bilal dan 6,581 noja.

Pahang berada di tempat kedua bilangan bukan imam paling ramai tahun lalu selepas Perak dengan sejumlah 1,556 orang diikuti Selangor (1,374), Kedah (1,204), Terengganu (1,056).

Kelantan (1,048), Pulau Pinang (699), Johor (682), Negeri Sembilan (657), Melaka (647), Sabah (579), Sarawak (504), Perlis (441), Kuala Lumpur (191), Labuan (41) dan Putrajaya (9).

Uniknya, perangkaan terbaharu Jakim turut mendedahkan bahawa tiada masjid pun di seluruh Terengganu dan Putrajaya yang mempunyai noja bagi tugas rasmi penjagaan premis itu.

Terdapat sejumlah 6,465 buah masjid di negara ini direkodkan akhir tahun lalu dengan Sabah muncul sebagai negeri yang mempunyai paling banyak masjid di Malaysia iaitu 1,072 buah.

2 thoughts on “Fakta : Johor Paling Ramai Tok Imam, Perak Paling Ramai Bilal Dan Noja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *