Status Ajaran Sesat Di Facebook Akan Diputuskan Oleh Majlis Raja-Raja Melayu

 

Majlis Raja-Raja Melayu akan memutuskan status sebenar berhubung seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 pada minggu lalu.

Katanya, keputusan muzakarah itu sudah diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.

“Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan keputusan muzakarah dan kita tunggu keputusan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Pelepasan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Pasir Mas, Kelantan di Kompleks Islam JAKIM Putrajaya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr Nordin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusof.

Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita yang didakwa terbabit dengan ajaran sesat, sudah hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Bangunan Sultan Idris Shah, di Shah Alam, bagi memberi keterangan.

Sementara itu, Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir JAKIM-YWM ke Pasir Mas, Kelantan itu membabitkan bantuan berjumlah RM60,000 berbentuk barangan seperti dapur gas, kelengkapan tidur seperti tilam bantal dan gebar, keperluan wanita dan kanak-kanak serta barangan kering.

Abdul Aziz berkata, turut menyumbang dalam misi bantuan ke Kelantan ini ialah Masjid Negara Kuala Lumpur sebanyak RM10,000, syarikat Ajinomoto (Malaysia) Berhad menyumbang pek makanan berjumlah RM4,250 serta sumbangan ke Tabung Musa’adah COVID-19 berjumlah RM5,000.

Katanya, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad turut menyumbang RM100,000 untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan rumah perlindungan orang bukan Islam terpilih.

“JAKIM turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Warga Islam (PEKWI) Hospital Putrajaya untuk disampaikan kepada petugas barisan hadapan di hospital itu.

“Tidak ketinggalan seramai 200 guru KAFA Negeri Kelantan yang terkesan COVID-19 menerima bantuan sebanyak RM300 seorang termasuk Sumbangan Pasca Banjir Kampung Orang Asli di Pahang, Kelantan, Perak dan Johor, berjumlah RM129,700,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *