September 27, 2023

Bos Pasar Raya MYDIN Gesa Bank Tawarkan Moratorium Automatik Untuk Sektor Perniagaan

2 min read

 

Sana sini sibuk bercakap tentang harapan untuk bank memberikan moratorium untuk meringankan beban tidak mampu membayar balik pinjaman dan hutang kerana sumber kewangan terjejas kerana pandemik COVID-19.

Pengarah Urusan Rangkaian Pasar Raya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata pihak bank perlu menawarkan moratorium kerana institusi kewangan itu masih mampu menjana keuntungan pada masa ini.

Bank perlu memberikan kemudahan itu kepada tiga sektor perniagaan yang kini nampak jelas semakin tertekan kerana perniagaan yang merosot disebabkan penulawan wabak penyakit ini.

Tiga sektor tersebut adalah pelancongan , peruncitan dan industri pengurusan acara.

BACA JUGA : Emas Hilang Daya Tarikan, Harga Terus Susut

Tegas beliau, sekiranya bank enggan menghulurkan bantuan, maka kerajaan seharusnya mengeluarkan arahan supaya mereka berbuat demikian.

“Memang benar, bank masih menjana keuntungan besar. Mungkin berlaku penurunan, tetapi lihatlah perniagaan dan syarikat dalam sektor pelancongan, peruncitan dan pengurusan acara.

“Kami alami kerugian, malah untuk mendapat pulangan modal pun susah,” katanya yang juga merupakan seorang Penasihat gabungan 131 perniagaan di bawah Persatuan Kumpulan Kelangsungan Perniagaan.

Menurutnya, moratorium tiga sektor itu seharusnya dilaksanakan secra automatik.

“Bagi perniagaan yang tidak memerlukan moratorium, mereka boleh memohon untuk dikeluarkan daripada skim tersebut,” katanya.

Beliau menambah, moratorium pinjaman hendaklah diberikan untuk tempoh 6 bulan sehingga semua perintah sekatan ditamatkan.

Katanya, apabila sesebuah syarikat diminta mengemukakan permohonan untuk mendapatkan moratorium, ada kemungkinan permohonannya ditolak.

“Bukan hanya sukar untuk mendapat moratorium, perniagaan dalam sektor itu juga diberitahu bahawa bank akan mengurangkan kemudahan dan meningkatkan kadar faedah antara 1.5% hingga 2%.

“Inilah waktunya untuk bank menyokong industri yang selama ini menjadi pelanggan setia mereka,” katanya.

Ameer berkata, biarpun sektor ekonomi kini dibuka semula secara berperingkat, perniagaan dalam tiga sektor itu mengalami kesukaran untuk kembali beroperasi susulan kesan perintah sekatan yang dilaksanakan sebelum ini.

“Bagi restoran, jumlah pelanggan yang dihadkan bermakna kuranglah pelanggan yang dibenarkan makan di situ.

“Manakala bagi industri peruncitan pula, kebanyakkan pusat membeli belah dan kedai masih kosong. Ini akan mengambil masa untuk kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata, sektor pelancongan menerima impak paling buruk, begitu juga dengan industri pengurusan acara.

Kedua-dua sektor ini terjejas akibat sekatan perjalanan dan larangan penganjuran aktiviti hiburan serta perhimpunan besar.

“Moratorium bukan bermakna kami tidak akan bayar pinjaman kami. Sebaliknya kami hanya perlukan bantuan dan ihsan bagi membantu pengusaha menghadapi situasi getir sekarang,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *