December 6, 2023

Kejayaan Program Imunisasi Bergantung Kerjasama Semua

3 min read

 

TANGGAL 21 Februari lalu akan terus terpahat dalam lensa sejarah negara kita apabila 312,390 dos vaksin COVID-19 selamat mendarat di bumi bertuah ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama bermula semalam dengan Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima vaksin diikuti petugas barisan hadapan lain.

Ia lambang bagaimana kita mahu membuktikan dan menerangkan kepada khalayak umum bahawa vaksin ini selamat.

Program imunisasi ini hanya akan berjaya apabila seramai mungkin penduduk Malaysia mengambil vaksin. Hanya menerusi penyertaan menyeluruh, barulah kita mampu menamatkan pandemik yang menghantui lebih setahun lamanya. Jika mahu menjadi pemenang dan mengalahkan virus maut itu, imunisasi kelompok harus diwujudkan dengan menjangkau kiraan 70 peratus daripada populasi negara.

Inilah pentingnya untuk semua rakyat Malaysia dan warga asing dalam negara ini menyertai program ini dan menjadi sebahagian mereka yang menerima suntikan vaksin. Jika tidak, kita akan terus gagal melawan musuh nombor satu negara ketika ini.
Apabila imunisasi kelompok mencapai 70 peratus atau lebih, kehidupan kita akan masuk lembaran baharu. Pada waktu itu, sudah pasti pelbagai sekatan pergerakan dikurangkan, prosedur operasi standard (SOP) tidak lagi seperti sekarang. Malah, mungkin kita akan rindui istilah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semua ini situasi positif. Sektor ekonomi yang menjadi mangsa paling teruk akibat serangan virus maut ini akan kembali berkembang sedikit demi sedikit. Sudah pasti waktu itu, pelbagai jenis sektor ekonomi akan diizinkan beroperasi lebih meluas dan rancak.
Perkembangan ini juga akan membolehkan kadar pengangguran dalam negara dikecilkan, malah rakyat dapat memperoleh pekerjaan sepadan dengan taraf pendidikan serta pengalaman masing-masing.

Sektor pendidikan juga akan kembali aktif dengan proses pemindahan dan percambahan ilmu yang sihat dan lebih mudah. Tidak lagi timbul isu berbangkit seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti capaian internet lemah, kekangan gajet sesuai dan pengurusan masa tidak seimbang.

Bermula TADIKA hingga institusi pengajian tinggi (IPT), masing-masing sudah boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih baik dan normal.

Inilah diharapkan pendidik serta mereka yang menuntut ilmu. Masing-masing mahu hadir ke kelas dan bertentang mata dengan guru, pensyarah atau tenaga pengajar kerana ia jauh lebih berkesan berbanding menggunakan skrin gajet atau televisyen.

Sesi pembelajaran agama di surau dan masjid juga akan lebih subur selepas ini. Jemaah sudah boleh dibenarkan hadir memenuhkan saf masjid dan surau untuk solat jemaah dan sesi kuliah agama seperti dahulu.

Senario ini akan mekar subur dan berlaku di sana sini dengan penuh meriah dan mencipta lembaran baharu dalam kehidupan kita.

Ia bagaikan ‘kelahiran semula’ apabila masing-masing dapat kembali kepada kehidupan normal.

Cukuplah dua tahun kita hidup dalam kekangan. Ayuh sama-sama berazam bermula 2022 nanti, negara kita dapat kembali kepada norma lama yang merancakkan sektor ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

Kita tidak boleh ‘mencipta’ kebebasan penuh, walaupun sudah ada imuniti kelompok. Pasti juga kita memerlukan kebergantungan SOP tertentu demi mengekalkan kadar jangkitan virus yang rendah dalam kalangan masyarakat.

Namun, yang pasti SOP selepas terbentuknya imuniti kelompok itu tidaklah seketat ketika kita berada pada Zon Merah COVID-19.

Yakinilah bahawa pemimpin kita mampu membawa kita menang melawan virus maut ini dengan kerjasama dan sokongan kita semua selaku penduduk di negara tercinta ini.

Sarfarizmal Saad,
Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *