December 6, 2023

Mula Dari Tengok Resipi Di Facebook, Sudahnya Berniaga Aiskrim Durian D24 Sedap

2 min read

 

Hasil dari lihat orang berkongsi resipi makanan di media sosial, sudahnya jadi punca mencari rezeki.

Oleh kerana melihat perkongsian-perkongsian berkenaan, Norhabibah Herman, 30 tahun, berjaya temui satu resipi menghasilkan aiskrim durian yang sedap dan kini menjualnya menjadi pendapatan sampingan untuknya.

Beliau pada mulanya hanya sekadar ‘suka-suka’ mencuba resipi itu, sebelum ahli keluarga dan rakan-rakannya memujuknya supaya menjual pemanis mulut berkenaan pada Disember lepas.

“Saya cuba untuk buat aiskrim durian selepas melihat resipi di Facebook dan sama sekali tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai produk jualan memandangkan fokus kini untuk menjual durian crepe yang dihasilkan 200 pek setiap hari sejak 2015.

“Selepas mendapat keyakinan dan mengolah sedikit resipi tersebut mengikut cita rasa sendiri baru saya mengambil tempahan daripada orang ramai, malah apa yang membuatkan saya berani mengetengahkan aiskrim ini kerana raja buah mempunyai peminatnya tersendiri yang pasti menggemari apa sahaja produk berasaskan durian,” katanya yang juga ibu kepada seorang anak perempuan.

BACA JUGA : 1,000 Muflis Di Jepun Akibat COVID-19

Selain ramuan lain,Norhabibah yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata antara bahan digunakan bagi menghasilkan aiskrim mengikut resipi istimewanya itu ialah isi durian jenis D24 yang sedap dan susu yang diadun sebelum dibekukan.

“Selain mudah dapat, durian jenis D24 mempunyai rasa yang lemak dan baik untuk hasilkan produk. Saya memperoleh stok isi durian ini sama ada daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri atau pembekal lain di seluruh Malaysia.

“Sehari saya mampu hasilkan 70 hingga 80 bekas aiskrim bergantung kepada tempahan pelanggan dan dijual dengan harga RM6 sebekas,” katanya.

Beliau menjalankan perniagaan itu bersama-sama suaminya, Mohd Syukri Sulaiman, 32 tahun.

Menurutnya, penghasilan aiskrim durian itu tidak mengambil masa yang lama iaitu sekitar 20 minit, bagaimanapun proses membekukannya memerlukan sekurang-kurangnya enam jam, namun bagi hasil terbaik perlu dibekukan dalam tempoh sehari.

Norhabibah berkata beliau sama sekali tidak pernah terlintas produk yang diketengahkan dengan jenama Eskrem Durian D24 by Ebah Herman itu akan mendapat permintaan ramai termasuk FAMA yang turut memasarkannya di House of Durian FAMA di Jerantut, dekat sini.

“Rata-rata pelanggan memang suka dengan resipi aiskrim durian ini kerana rasanya yang lemak, mereka kata seolah-olah makan seulas durian segar,” katanya.

Buat masa ini, beliau hanya mempromosikan aiskrim buatannya melalui laman Facebook dan Instagram malah berhasrat mengetengahkan produk berkenaan luar dari Kuantan dengan melantik ejen jualan di sekitar Pahang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *